Rafoc saran Mindef rombak proses perolehan aset pertahanan
SHAH ALAM - Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (Rafoc) menyarankan Kementerian Pertahanan (Mindef) merombak secara keseluruhan proses perolehan aset pertahanan.
Presiden Rafoc, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim berkata, rombakan perlu dilakukan berpandukan kepada lima perkara penting.
Menurutnya, pertama ia berdasarkan teguran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS) dan ada menjadi asas kebertanggungjawaban pihak pemegang taruh untuk dipatuhi.
"Keperluan mengikut spesifikasi dan objektif perolehan aset oleh pengguna iaitu ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara hendaklah diutamakan.
"Kedua, dasar kerajaan untuk membangunkan keupayaan teknologi di dalam negara serta mengembangkan industri pertahanan kena difahami. Perlu wujud keseimbangan di antara keupayaan pertahanan dan industri. Objektif industri pertahanan tidak wajar mengatasi tujuan utama perolehan aset," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Abdul Aziz berkata, ketiga dasar kemakmuran ekonomi yang memperkukuhkan pertahanan.
"Keputusan lampau yang menjadikan perolehan aset pertahanan sebagai objek dagangan di dalam perdagangan barter, contohnya negara tertentu dipilih kerana satu-satunya negara yang sanggup membeli minyak sawit.
"Keempat pula, peruntukan yang mencukupi perlu sentiasa diberi keutamaan bagi penyenggaraan berkesan aset untuk jangka panjang," ujar beliau.
Menurut Abdul Aziz, proses senggaraan ke atas aset-aset strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dimiliki adalah demi menjaga kesiapsiagaan pasukan serta jangka hayat aset-aset tersebut.
Jelas beliau, menerusi peruntukan itu ia dapat memastikan pengoperasian aset-aset strategik ATM berada pada tahap optimum dengan keupayaan diatur gerak pada bila-bila masa.
Tegasnya, perkara kelima kerajaan perlu memberi perhatian kepada cadangan pembentangan pembelian aset pertahanan ketenteraan oleh suatu jawatankuasa khas di peringkat Parlimen seperti yang dilakukan di Great Britain mahupun Australia.
Ia kerana, kata beliau cadangan itu tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh kerajaan.
"Cadangan tersebut hendaklah diambil serius jika semua pihak benar-benar meletakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban di dalam perolehan aset pertahanan.
"Jika soal kerahsiaan dan strategik yang dibimbangkan semestinya ada cara untuk mengurangkan risikonya," katanya.
Susulan itu, Abdul Azis menegaskan, Rafoc mengharapkan suatu langkah ke hadapan diambil bagi menangani masalah yang diutarakan itu.
Menurut beliau, perkara berkenaan tidak wajar dijadikan modal politik keterlaluan yang boleh menjejaskan kualiti pertahanan negara seluruhnya
Katanya, pada masa sama Rafoc juga menyambut baik rancangan Mindef menubuhkan Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan sebagai antara usaha mencegah dan mengelak penyelewengan dalam pemerolehan aset di bawah kementerian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!