Ismail Sabri nafi bubar Parlimen kerana desakan UMNO
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan pembubaran Parlimen yang dibuat kerajaan dilakukan atas desakan dari parti sendiri, UMNO.
Beliau berkata, walaupun terdapat desakan daripada parti UMNO berhubung pembubaran Parlimen selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun kehendak parti itu tidak diikuti perdana menteri.
"Kalau ikutkan pandangan daripada parti dah lama, dah lama saya bubar Parlimen. Tengok masa PRN Johor yang kata bubar-bubar, setiap kali perhimpunan pun sebut bubar-bubar.
"UMNO dah lama cakap soal pembubaran, cuma masa yang tak sesuai dan saya pun masih belum merancang lagi dari segi tarikh yang tepat. Tetapi apabila ada isu yang berkaitan dan saya nampak tak boleh nak ‘go on’ (teruskan) lagi, jadi saya bubarlah,” katanya kepada media selepas melancarkan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di sini pada Khamis.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas ditanya mengenai sama ada pembubaran yang diumumkan itu dilakukan atas desakan parti berkenaan.
Ismail Sabri berkata, sukar baginya untuk memimpin kerajaan sekiranya tiada kesepakatan atau solidariti sesama menteri Kabinet.
"Bagaimana saya nak menguruskan kerajaan dengan baik kalau saya tidak yakin dengan kesepakatan atau solidariti sesama menteri kabinet?” katanya.
Katanya, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan ini gagal dan perlu mengadakan pilihan raya semula dan segera.
"Presiden Bersatu, dia adalah parti yang sama dalam gabungan kerajaan. Ada sembilan tak silap saya menteri dari parti dia (Bersatu). Tiba-tiba dia ‘attack’ (serang) kerajaan, itu merupakan perkara yang amat tidak bertanggungjawab kalau dia katakan saya tidak bertanggunjawab,” katanya.
Justeru, beliau berkata demi memastikan kestabilan kerajaan bagi proses pemulihan ekonomi pasca Covid-19 dan pelaksanaan agenda lebih besar, Ismail Sabri menegaskan mandat seharusnya dikembalikan kepada rakyat untuk membuat pilihan membentuk kerajaan yang lebih stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!