Netizen cadang Tok Mat tanding Parlimen Seremban
SEREMBAN - Gesaan Pemuda UMNO Seremban yang mahukan kerusi Parlimen itu diberi kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menjadi perdebatan netizen di media sosial.
Jika sebelum ini Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin menawarkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertanding di kerusi itu, kini netizen pula mencadangkan nama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ia selepas Khairy mengesahkan tidak akan mempertahan kerusi Parlimen Rembau pada PRU15 selepas diminta oleh Mohamad atau Tok Mat yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau untuk memberi laluan kepadanya bertanding di kawasan berkenaan.
Sebelum itu, media melaporkan yang Mohamad memberitahu akan mempertahan kerusi DUN Rantau dan pada masa sama membayangkan akan bertanding di Parlimen, namun tidak menyatakan kawasan mana yang akan ditandinginya.
Pengguna Facebook Anuar Ahmad berkata, biar Tok Mat bertanding di Seremban, baru 'steady'.
Pemilik akaun nama Ray Hym pula berkata, letaklah Tok Mat baru epic.
Begitu juga dengan pengguna Facebook Abu Bakar pula berkata, kerusi Seremban bukan saja perlu diberi kepada UMNO, malah Tok Mat harus diberi tempat sebagai calon dikerusi itu, baru buku bertemu ruas.
Katanya, kerusi itu paling sesuai ditandingi oleh Tok Mat kerana beliau merupakan Timbalan Presiden yang mempunyai pengaruh kuat di Negeri Sembilan dan Khairy pula hanya sesuai di Parlimen Rembau.
Pemilik akaun Zaini Idris pula berkata, Tok Mat boleh bertanding di Parlimen Seremban dan tidak perlu berebut kerusi Rembau kerana Khairy sudah ada di situ.
Untuk rekod, pada PRU14, kerusi Parlimen Seremban dimenangi oleh Loke Siew Fook dari DAP dengan majoriti sebanyak 30,694 undi.
BN di kerusi Parlimen Seremban secara tradisinya ditandingi oleh MCA namun parti itu tewas sejak 2008.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!