Gadis 'penoreh getah' daftar masuk kolej kediaman UniSZA
KUALA NERUS - Gadis yang pernah tular kerana kisahnya mencari wang dengan menoreh getah untuk masuk ke universiti kini telah mendaftar masuk ke kolej kediaman Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada pagi Khamis.
Nur Amalin Syaffah Saman, 20 berkata, perasaannya agak janggal kerana terpaksa berjauhan dengan keluarganya di Rantau Panjang, Kelantan memandangkan sebelum ini mereka jarang berenggang.
Bagaimanapun, anak sulung dari lima beradik itu nekad meneruskan perjuangan demi mengubah nasib keluarga untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
"Dua semester sebelum ini saya belajar secara dalam talian di rumah dan dalam masa sama dapat menguruskan keluarga. Dua adik saya adalah orang kurang upaya (OKU), manakala dua lagi mempunyai masalah pembelajaran.
"Saya bersyukur, sekarang saya sudah boleh belajar secara bersemuka dan masuk ke asrama. Rasa lega juga sebab tidak lagi perlu susah payah keluar rumah cari internet kerana segala kemudahan sudah tersedia di kampus," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Kewangan Islam di UniSZA itu telah mendapat tajaan biasiswa sebanyak RM30,000 dari tabung wakaf universiti berkenaan.
Katanya, sejak kisahnya tular, banyak pihak dan individu perseorangan tampil memberi bantuan termasuk kata-kata semangat agar tidak mudah putus asa untuk menyambung pengajian.
"Alhamdulillah, perjalanan dari Kampung Tandak, Rantau Panjang, Kelantan ke UniSZA juga dibiayai oleh Yayasan Raja Shamri kerana keluarga saya tiada kenderaan.
"Semua jasa baik pelbagai pihak dan rakyat Malaysia sangat saya hargai dan akan belajar bersungguh-sungguh untuk mengeluarkan keluarga daripada kemiskinan," katanya.
Kisah kesusahan Nur Amalin Syaffah yang terpaksa berulang-alik sejauh 30 kilometer meredah kebun getah dan kelapa sawit bagi mencari wang persediaan ke universiti mendapat perhatian UniSZA dengan menawarkannya biasiswa berjumlah lebih RM30,000.
Biasiswa bagi menampung yuran pengajian, asrama dan sara hidup sebanyak RM600 sebulan itu diuruskan tabung wakaf universiti sehingga dia menamatkan pengajian selama tiga tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!