Gerakan Pulau Pinang hantar senarai calon kepada SPRM, PDRM

Tong Keong
Tong Keong
A
A
A

GEORGETOWN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang akan menghantar senarai nama calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, urusan penghantaran senarai nama kepada dua agensi terbabit akan dilakukan minggu depan sebaik menerima senarai akhir calon yang akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pusat (CC) Gerakan pada Sabtu ini.

"Semua perkara berkaitan PRU15 akan dibincangkan dan diselesaikan pada mesyuarat CC Gerakan pada Sabtu ini termasuk memuktamadkan calon yang akan bertanding dan logo yang akan kita gunakan nanti.

"Sekiranya ada diantara calon yang tidak melepasi tapisan atau mempunyai rekod lampau dengan kedua-dua agensi penguat kuasa terbabit,kita akan terus 'tendang' keluar nama mereka daripada senarai," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Makanan Pasar Awam Bayan Baru, di sini pada Khamis.

Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Nasional berkata, setakat ini Gerakan berhasrat untuk bertanding di lebih 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lebih empat kerusi Parlimen di Pulau Pinang pada PRU15 nanti.

Bagaimanapun katanya, angka itu mungkin akan bertambah selepas rundingan dibuat bersama rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

"Sewaktu kita bersama BN dahulu memang kita hanya bertanding di 13 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen.

"Mungkin jumlah kerusi untuk kita bertanding akan bertambah dan semuanya terserah kepada jawatankusa pusat parti untuk membuat rundingan dengan Majlis Tertinggi PN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!