Tiga faktor penyumbang kejayaan Pahang: Wan Rosdy

Wan Rosdy ketika sesi pergulungan perbahasan di persidangan DUN Pahang pada Khamis.
Wan Rosdy ketika sesi pergulungan perbahasan di persidangan DUN Pahang pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang merumuskan tiga faktor penting menjadi penyumbang kepada kejayaan terbesar pentadbiran kerajaan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antaranya, wujud kestabilan dalam Kerajaan Pahang yang dipimpin oleh BN sejak dari dahulu sehingga hari ini.

Beliau menyatakan keyakinan sekiranya tiada kestabilan banyak agenda pembangunan dan program kebajikan rakyat akan terbantut.

"Seandainya Kerajaan Pahang berada dalam keadaan goyah, saling bertelagah dan tidak stabil, kita tidak mampu mencapai kejayaan seperti hari ini," katanya ketika sesi pergulungan perbahasan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini pada Khamis.

Beliau memaklumkan, kestabilan yang dicapai membolehkan Kerajaan Pahang membuat strategi-strategi baharu sekali gus berjaya merangsang kemasukan pelabur, dengan cara dan kadar yang luar biasa.

Jelasnya, kemasukan pelabur yang banyak akan memberikan pulangan hasil lumayan kepada negeri, dan membolehkan Kerajaan Pahang menggandakan pelbagai bantuan kebajikan kepada rakyat.

Wan Rosdy menambah, hubungan baik Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan juga banyak mempengaruhi kejayaan dalam pentadbiran negeri.

"Ini terbukti apabila banyak projek dan perancangan di peringkat Kerajaan Pusat, telah memasukkan kepentingan di negeri Pahang. Ini adalah sesuatu yang mesti kita pertahankan, dan terus ditambah baik pada tahun-tahun mendatang," tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Wan Rosdy menjelaskan sepanjang pentadbirannya sejak 2018, empat kejayaan direkodkan iaitu peningkatan hasil kutipan pendapatan negeri, pelaburan asing,pengurangan hutang negeri dan penyaluran bantuan dan program kebajikan kepada rakyat.

Menyentuh mengenai peningkatan hasil kutipan pendapatan negeri, Wan Rosdy memaklumkan, perolehan hasil negeri konsisten pada setiap tahun.

"Pada tahun 2019, Pahang berjaya memperoleh hasil sebanyak RM847 juta dan jumlah itu terus meningkat kepada RM850 juta (2020), dan RM866 juta pada tahun tahun lalu.

"Pada tahun ini, buat pertama kalinya dalam sejarah, Kerajaan Pahang berjaya memperoleh hasil sebanyak RM1.037 bilion (7 Oktober lalu), mengatasi sasaran RM1.036 bilion meskipun masih berbaki lebih dua bulan lagi," ujar beliau lagi.

Wan Rosdy menambah, Pahang juga berjaya membawa masuk pelaburan terbesar di negeri ini dalam tempoh dua tahun.

"Pada tahun 2020, pelabur telah menanam modal sebanyak RM6.7 bilion. Jumlah ini meningkat kepada RM10.5 bilion pada tahun 2021. Peningkatan ini membolehkan Pahang berada di kedudukan negeri ketiga terbaik di Malaysia, berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

"Pada tahun ini, sehingga 30 September lalu, Pahang berjaya memperoleh pelaburan berjumlah RM20.56 bilion. Angka ini melangkaui sasaran RM18 bilion," jelasnya.

Beliau memaklumkan, Kerajaan Pahang juga berjaya mengurangkan hutang kerajaan negeri yang signifikan daripada RM3.31 bilion kepada RM952.21 juta.

Tegasnya, pengurangan hutang ini sebahagian besarnya dicapai menerusi penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Negeri Pahang.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, penyaluran bantuan dan program kebajikan yang berterusan kepada rakyat, termasuklah intervensi khusus semasa negara dilanda pandemik Covid-19 antara faktor kejayaannya dalam pentadbiran.

"Sepanjang fasa genting Perintah Kawalan Pergerakan, Kerajaan Pahang telah membelanjakan sebanyak RM31.3 juta melalui pakej Bantuan Prihatin Pahang, untuk diagihkan kepada golongan sasar yang terkesan.

"Pada tahun ini pula, Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM30 juta melalui Bantuan Prihatin Pahang yang memberi manfaat kepada hampir 300,000 penerima. Semua pihak, dari segenap lapisan masyarakat, kita santuni dengan sewajar dan selayaknya," jelas beliau panjang lebar.

Habis#

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!