Pemborong hadkan kuota punca telur ayam kurang: Cake

Mohammad Yusrizal (kiri) menunjukkan sebahagian kedai runcit di Pasar Besar Alor Setar yang sudah kehabisan bekalan telur dan minyak peket pada pagi Khamis.
Mohammad Yusrizal (kiri) menunjukkan sebahagian kedai runcit di Pasar Besar Alor Setar yang sudah kehabisan bekalan telur dan minyak peket pada pagi Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Kekurangan bekalan telur di pasaran di beberapa daerah di Kedah dipercayai berpunca daripada jumlah telur yang dihadkan kuota oleh pemborong kepada peniaga.

Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohammad Yusrizal Yusoff berkata, masalah tersebut dikesan sejak dua minggu lalu selepas menerima banyak aduan daripada pengguna yang merungut ketiadaan telur di pasaran.

Menurutnya, kekurangan bekalan telur perlu diatasi segera oleh kerajaan melalui agensi terlibat kerana merupakan antara makanan asas kepada masyarakat di negara ini terutamanya golongan B40.

"Sejak dua minggu lalu Cake telah menerima aduan kekurangan bekalan telur dari orang ramai di beberapa daerah di Kedah dan selepas kita periksa memang berlaku kekurangan di pasaran malah turut terjadi di beberapa negeri lain.

"Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh sebelum ini menyatakan masalah kekurangan ini adalah disebabkan oleh masalah logistik tetapi sebenarnya adalah masalah pemotongan kuota daripada pemborong kepada peruncit sehingga menyebabkan bekalan telur berkurangan," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan barangan keperluan asas di Pasar Besar Alor Setar, dekat sini.

Mohammad Yusrizal berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu segera menyiasat perkara tersebut kerana dibimbangi kekurangan bekalan telur mampu menyebabkan harga barangan keperluan ini meningkat.

Seorang peniaga, Shamsul Fauzi menunjukkan bekalan telur yang baru sampai di kedainya berkurangan kepada separuh sejak dua minggu lalu di Pasar Besar Alor Setar.
Seorang peniaga, Shamsul Fauzi menunjukkan bekalan telur yang baru sampai di kedainya berkurangan kepada separuh sejak dua minggu lalu di Pasar Besar Alor Setar.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, peniaga juga terbeban dengan kos tersembunyi kerana penghantaran juga dikenakan caj sebanyak 20 sen bagi setiap satu bekas telur yang dihantar ke kedai mereka.

"Ini antara kos tersembunyi yang terpaksa ditanggung oleh peruncit. Disebabkan perkara ini ada peruncit yang menaikkan harga disebabkan oleh kos-kos tersembunyi ini, pihak berkuasa perlu bertegas dengan perkara yang berlaku ini kerana beban itu akhirnya ditanggung oleh pengguna," ujar Mohammad Yusrizal lagi.

Seorang peniaga, Shamsul Fauzi, 36 ketika ditemui mengakui bekalan telur yang diterima olehnya adalah separuh daripada jumlah yang diterima pada hari biasa sebelum ini.

Menurutnya, dia menerima 30 bekas telur daripada pemborong setiap hari membabitkan gred A,B dan C dan akan habis pada hari sama ataupun keesokan paginya.

"Sebelum ini saya terima bekalan 50 bekas telur ke atas ataupun boleh minta lebih lagi jika ada permintaan tetapi pemborong mengehadkan sejak dua minggu lalu dan sejak itu pengguna merungut kerana telur selalu habis," kata Shamsul.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!