SPRM reman pengarah, bekas timbalan pengarah Maqis
KOTA BHARU - Seorang pengarah dan bekas timbalan pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu pembekalan makanan haiwan.
Perkara tersebut didedahkan oleh sumber SPRM yang memaklumkan kedua-dua individu itu direman selama seminggu sehingga Rabu depan.
Sumber SPRM berkata, perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Tuan Mohd Izdham Naim Che Ani di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
"Pengarah Maqis yang berusia 44 tahun itu ditahan pada Rabu jam 8.45 malam di pejabat SPRM Kelantan di sini. Lelaki itu direman bermula hari ini sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurut sumber, bekas timbalan pengarah Maqis berusia 55 tahun ditahan jam 7 malam pada Selasa di pejabat SPRM Kelantan.
Sumber berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan selepas dipercayai berpakat dengan pembekal bagi mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran matan palsu berhubung pembekalan makanan haiwan kepada Maqis Kelantan pada Januari dan Mac lalu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!