MB Selangor tidak minta bubar DUN
SHAH ALAM - Istana Selangor menafikan kenyataan di akhbar dan media sosial yang disifatkan kurang tepat berhubung keputusan kerajaan negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serentak dengan kerajaan Persekutuan.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa tidak membuat permintaan pembubaran DUN.
"Amirudin berhasrat untuk meneruskan pentadbiran kerajaan Selangor dan Baginda Sultan Selangor mengambil maklum akan kedudukan ini dan mengharapkan agenda pembangunan negeri yang telah dirancang dapat diteruskan demi kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, kerajaan Selangor mengekalkan pendirian tidak membubarkan DUN Selangor serentak dengan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Amirudin berkata, setakat ini keputusan Pakatan Harapan (PH) itu kekal hingga hujung tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!