IWB lancer kempen #DengarlahSuaraKami
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melalui Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor melancarkan Kempen #DengarlahSuaraKami sebagai tanda keprihatinan bagi membela nasib golongan wanita yang dibelenggu isu penderaan, gangguan seksual, dan keganasan.
Exco Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata berkata, kempen yang dilaksanakan bersempena Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita ini merupakan satu usaha untuk membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni di samping mendorong seluruh masyarakat untuk bersama-sama peka terhadap isu ini.
“Malah kita juga cuba wujudkan masyarakat yang peka dengan keadaan sekeliling mereka termasuk melibatkan kes-kes penderaan, keganasan dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen #DengarlahSuaraKami hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kempen berkenaan, Siti Mariah berkata, pihaknya telah melancarkan satu pelekat khas yang dilengkapi maklumat berkaitan bagi membantu mangsa dan orang awam untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku sebarang kes penderaan terhadap golongan wanita.Beliau berkata, pelekat khas berkenaan juga akan diedarkan di seluruh premis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi-agensi lain bagi menjadi pendorong kepada semua pihak untuk bertindak sekiranya berlaku sebarang kes keganasan terhadap kaum wanita.
“Kerajan Selangor menyeru agar seluruh rakyat di negeri ini dapat bersatu hati dan membela nasib golongan wanita yang terkesan dengan segala bentuk keganasan,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Mariah berkata, terdapat kaum wanita yang masih kurang pendedahan mengenai perkara ini dan situasi berkenaan telah menyebabkan golongan ini seringkali keliru untuk memperjuangkan nasib mereka sekiranya ditindas.
Tambah Siti Mariah, hak golongan wanita yang termaktub di dalam undang-undang sivil dan syariah di negara ini adalah cukup meluas dan menyeluruh bagi membolehkan pihak tidak bertanggungjawab di bawa ke muka pengadilan.
“Disebabkan itulah kempen-kempen sebegini amat penting supaya semua pihak mendapat pendedahan sewajarnya dan dapat bertindak mengikut saluran yang betul,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!