Amaran untuk pengusaha khemah sewa degil
SEREMBAN - Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas terhadap pengusaha khemah sewa yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa berkata, pihaknya telah mengingatkan beberapa kali yang khemah hanya boleh dipasang apabila ada tempahan daripada pelanggan dan bukannya membiarkannya dipasang setiap masa.
"MPPD terus menjalankan operasi penguatkuasaan dan pada Isnin lalu sebanyak 16 unit khemah kanopi serta dua unit khemah 'camping' di Pantai Cermin dan Pantai Port Dickson telah dirampas.
"Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan selepas MPPD menerima aduan pengunjung yang tidak berpuas hati pemasangan khemah di situ kerana menyebabkan mereka tidak dapat berkelah dan beriadah di pantai," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, MPPD akan menyita khemah dan tindakan lebih tegas akan diambil jika mereka didapati melakukan kesalahan sama berulang kali.
Ujarnya, MPPD sememangnya sentiasa mengambil perhatian rungutan orang ramai berkenaan isu itu yang didapati masih berlarutan.
"Oleh sebab itu, operasi penguatkuasaan dan pemantauan sentiasa dilakukan bagi memastikan keselesaan orang ramai yang datang berkunjung di kawasan pantai Port Dickson," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!