PRU15: Bersih tuntut SPR lanjut tempoh kempen 21 hari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa supaya melanjutkan tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga 21 hari bagi memastikan undi pos di luar negara dapat diterima pada hari pengundian.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, perkara itu merupakan antara lima fokus utama daripada Kempen Ketuanan Pengundi yang dijalankan mereka.

Jelasnya, adalah wajar untuk SPR menetapkan minimum 21 hari tempoh kempen bagi memastikan hak pengundi pos di luar negara tidak diketepikan.

“Gesaan lain yang dituntut adalah segera memisahkan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara yang merupakan lantikan politik bagi memastikan tidak berlaku isu pendakwaan terpilih.

“Selain itu, reformasi terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu dilakukan supaya menjadi badan yang bebas dan tidak digunakan sebagai senjata menentang lawan politik oleh pihak tertentu,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Bersih turut menyeru kepada kira-kira 21 juta pengundi yang layak supaya memanfaatkan sebaiknya peluang untuk memilih kerajaan yang mampu membawa negara ke arah yang lebih baik.

Menurutnya, meskipun ramai yang menolak PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat susulan kebimbangan terhadap berlakunya banjir, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetap memilih untuk membubarkan Parlimen.

Keadaan ini katanya, pasti akan menyusahkan rakyat terutamanya membabitkan kawasan yang sering berlaku atau berisiko banjir nanti.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai rakyat, kita mesti menolak cubaan beberapa ahli politik untuk memanipulasi, melemahkan semangat dan memecahbelahkan kita dengan menggunakan hak sebagai pengundi.

“Cara paling berkesan dan tegas adalah melalui peti undi. Rakyat adalah pembuat raja sebenar semasa pilihan raya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!