Kod AmPrivate Banking-MR milik Najib terlalu sulit: Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengurus Perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa, akaun semasa AmIslamic Bank atau dikenali dengan kod AmPrivate Banking-MR milik Datuk Seri Najib Tun Razak yang berakhir dengan nombor 694, diklasifikasikan sebagai terlalu sulit.

Saksi pendakwaan ke-41 (SP-41), Joanna Yu berkata, klasifikasi itu menyebabkan nama bekas Perdana Menteri itu sukar didedahkan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai akses kepada sistem akaun di cawangan berkenaan.

Joanna, 51, berkata, soalan pernah diajukan kepada Bahagian Operasi Ambank sama ada boleh mempunyai dengan dua nama (untuk memasukkan kod nama).

Katanya, bahagian itu kemudiannya memaklumkan, tiada masalah untuk berbuat demikian kerana ia akaun berasaskan projek korporat yang dirujuk dengan nama projek.

Menurutnya, dalam semua urusan pelanggan persendirian, ini adalah kali pertama beliau berhadapan dengan akaun individu yang menggunakan kod nama.

Mengenai pemilihan nama AmPrivate Banking-MR untuk akaun semasa itu, beliau berkata, ia merupakan permintaan dan cadangan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

"Malah dia juga meminta akaun ini diklasifikasikan sebagai terlalu sulit, saya tidak ingat siapa yang memberikan nama kod AmPrivate Banking-MR.

"Saya hanya tahu, ada perbincangan untuk menggunakan kod nama bagi melindungi maklumat dan memelihara sensitiviti akaun,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Joanna berkata, telah dimaklumkan oleh SP-39, Pengarah Urusan Kumpulan Ambank (ketika itu), Cheah Tek Kuang bahawa perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, saksi ini berkata, tidak pernah bertemu secara peribadi dengan Najib dan sebarang urusan perbankan dibuat melalui Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) 1MDB ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil dan Jho Low.

Walaupun Nik Faisal dilantik sebagai pemegang mandat akaun, Joanna berkata, pemimpin UMNO itu masih menjadi pemegang akaun dan bertanggungjawab terhadap transaksi yang berlaku dalam akaunnya.

Najib, 69, memfailkan notis itu melalui Tetuan Shafee & Co dengan menamakan kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Jabatan Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!