'Usaha menentang kleptokrat, penyamun negara belum selesai'
SHAH ALAM - Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air merupakan satu ibadah.
Menurutnya, itulah sebab mengapa beliau masih meneruskan usahanya dalam menentang ‘kleptokrat’ dan ‘penyamun-penyamun negara’.
“Saya sedar ada yang persoal kenapa perlu saya bertanding lagi di dalam pilihan raya. Bagi saya umur panjang beri peluang kepada saya untuk terus berjuang.
"Tidak ada perjuangan yang lebih baik selain dari berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air. Saya percaya perjuangan tersebut juga adalah satu ibadah seperti mana saya diwajibkan melakukan ibadah sama ada di masjid mahupun ibadah-ibadah yang lain,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Khamis.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, usaha menentang ‘kleptokrat’ dan ‘penyamun-penyamun negara’ masih belum selesai.
Katanya. sebagai seorang pemimpin, beliau tidak boleh hanya sekadar duduk dan mengarahkan tanpa terlibat sama dalam usaha itu.
“Selagi hidup, saya akan terus berjuang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!