[VIDEO] PH masih buka ruang kerjasama dengan GTA, Bersatu
PETALING JAYA - Pintu kerjasama Pakatan Harapan (PH) masih terbuka buat mana-mana parti yang mempunyai agenda yang sama iaitu menentang rasuah dan salah guna kuasa.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH boleh bersama mengadakan pakatan pilihan raya dengan mana-mana parti termasuk dari Parti Gerakan Tanah Air (GTA) mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Kalau boleh ikut agenda PH, boleh berjumpa kami silakan. Apa-apa kerjasama mesti terikat dengan prinsip, tujuan kita bergabung nak menumbangkan UMNO itu sahaja, tapi yang nak tumbangkan siapa?," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas persoalan sama ada PH bersedia mempertimbangkan untuk menerima Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai sekutu lagi meskipun pernah berlaku sejarah hitam Langkah Sheraton pada dua tahun lalu.
"Come together itu memang kenyataan yang lunak seperti bersatu, bersatu itu apa, ada orang bersatu yang nak rompak, ada bersatu dengan macam cerita persatuan 40 penyamun. Jadi bersatu itu mesti bersandarkan kepada beberapa prinsip yang jelas.
"Ada kelola yang baik, menolak rasuah, tidak bersetuju dengan dasar perkauman atau fanatik agama, itu prinsip utama dan kalau bersetuju silakan, ini bukan mirip monopoli mana-mana parti,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar turut mengesahkan bahawa PH sedang mengadakan perbincangan dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
“Macam Parti Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) ada syarat-syarat yang disepakati bersama begitu juga dengan PSM kita bersetuju untuk mengadakan pakatan pilihan raya bersama,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!