Penduduk cabar keputusan roboh Stadium Shah Alam
SHAH ALAM - Seorang penduduk di sini, Datuk Ahmad Mua’Adzam Shah Ya’akob memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan negeri dan Menteri Besar Selangor untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan membina stadium berskala lebih kecil.
Ahmad Mua’Adzam, 48, selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menerusi Tetuan Kamarudin & Partners dengan menamakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Menteri Besar Selangor dan kerajaan Selangor sebagai respondan pertama hingga ketiga.
Dalam permohonan itu, Ahmad Mua’Adzam memohon satu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden ketiga (kerajaan Selangor) bertarikh 16 Julai 2022 dan keputusan bertarikh 30 September 2022 yang dilaksanakan oleh responden kedua (Menteri Besar Selangor) untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan membina stadium lebih kecil serta memajukan tanah sekitarnya.
Lelaki itu juga memohon perintah mandamus bahawa responden-responden mengikut peraturan-peraturan menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 sebelum apa-apa keputusan dibuat terhadap stadium tersebut khususnya notis awam dengan menjemput mana-mana pihak berkepentingan terutama pemilik-pemilik tanah yang berhampiran memberi pengesahan sama ada membantah atau bersetuju dengan cadangan responden ketiga.
Selain itu, Ahmad Mua’Adzam Shah turut memohon suatu perintah larangan di bawah Aturan 53, Kaedah 2(1) KM 2012 diberikan supaya keputusan kerajaan Selangor digantung sementara sehingga permohonan itu diputuskan.
Sementara itu, peguam Kamarudin Ahmad yang mewakili Ahmad Mua’Adzam Shah, ketika dihubungi berkata, permohonan itu difailkan di mahkamah tersebut kira-kira 11 pagi Khamis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!