'Pulau Pinang bubar DUN atau tidak, kita tunggu esok'

Kon Yeow ketika ditemui media di sebuah hotel di Persiaran Gurney, pada Khamis.
Kon Yeow ketika ditemui media di sebuah hotel di Persiaran Gurney, pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Teka-teki sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan atau sebaliknya akan diketahui pada Jumaat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan rasmi mengenai perkara itu akan diumumkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

"Setelah kita mesyuarat pada hari Isnin lalu diikuti mesyuarat PH Pulau Pinang, DAP Pulau Pinang telah cuba dengan sedaya upaya membawa hujah terbaik kepada DAP pusat untuk kaji semula keputusan bagi mengadakan pilihan raya serentak.

"Kita dapat meyakinkan DAP pusat untuk membawa isu ini kepada mesyuarat PH yang berlangsung pada semalam (Rabu).

"Seperti diumumkan selepas mesyuarat berkenaan, kita akan tunggu pengumuman rasmi pada esok hari," katanya ketika ditemui media di sini, pada Khamis.

Ditanya mengenai pendirian PKR yang tetap bertegas tidak mahu pembubaran DUN dilakukan, Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, hakikatnya mesyuarat PH pusat telah memberi kesempatan mendengar rayuan daripada DAP khususnya DAP Pulau Pinang mengenai perkara terbabit sehingga ia dapat dikaji semula.

Jelasnya, PH Pulau Pinang sebelum ini juga setuju membawa perkara berkenaan ke pusat untuk keputusan muktamad dan arahan berkaitan.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, antara faktor DAP Pulau Pinang mahu membubarkan DUN disebabkan seruan daripada rakyat selain logistik akan menjadi lebih mudah jika pilihan raya dilakukan serentak.

Artikel Berkaitan:

"Memang diakui ini faktor-faktornya. Jadi kita tunggu esok," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!