Remaja hidap leukemia hilang pendengaran, penglihatan
![Ahmad Danish yang dijaga oleh neneknya, Razma (kiri) terpaksa dipangku setiap kali ingin bangun atau duduk.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/10/14/1944099.jpg)
PASIR MAS - Sayu hati seorang nenek apabila melihat cucunya, Ahmad Danish Norul Hadi, 18, diuji hilang penglihatan dan pendengaran selepas doktor mengesahkan dia menghidap penyakit leukemia.
Bukan itu sahaja, remaja yang kini menetap di Kampung Siram di sini itu turut hilang upaya untuk bergerak serta berdiri dan hanya terlantar di atas katil.
![Ahmad Danish diuji hilang penglihatan dan pendengaran, sukar bertutur serta hanya mampu terlantar selepas doktor mengesahkan dia menghidap penyakit leukemia.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/10/14/1944101.jpg)
Lebih memilukan lagi, remaja berkenaan gagal meneruskan persekolahan sehingga terpaksa melupakan impian untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu selepas kesihatannya semakin merosot sehingga hilang upaya untuk bercakap.
Neneknya, Razma Jusoh 63, berkata, perubahan ketara itu dapat dilihat pada tahun lalu apabila Ahmad Danish yang sebelumnya sihat sepertimana remaja lain tiba-tiba berubah secara drastik.
"Kami terkejut melihat perubahannya, sebelum ini dia boleh bergerak tapi kini hanya terlantar.
"Mohd Danish juga sudah tidak boleh bertutur dengan baik, hilang upaya mendengar dan matanya kabur," katanya yang menggalas tanggungjawab menjaga cucunya itu.
Sebelum itu Razma dan Mohd Danish menerima kunjungan Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) yang diketuai oleh Ketua Unit Media dan Komunikasi, Akidi Hamid.
Dalam kunjungan tersebut KELSS menyampaikan bantuan berupa sebuah katil, lampin pakai buang dan wang tunai bagi meringankan bebanan keluarga berkenaan.
Menurut Razma, keadaan cucunya itu menyebabkan anak sulung daripada enam beradik berkenaan yang sebelum ini tinggal bersama keluarga di Nilai, Negeri Sembilan terpaksa dibawa pulang ke kampung.
Katanya, hal ini kerana keluarga Ahmad Danish tinggal di rumah flat dan sukar untuk menguruskannya apabila perlu ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Dia menjelaskan kini Ahmad Danish masih meneruskan rawatannya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
![Ahli KELSS menyampaikan sumbangan katil, lampin pakai buang dan wang tunai kepada Ahmad Danish dan neneknya di Kampung Siram, Pasir Mas.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/10/14/1944100.jpg)
"Semasa sihat, dia selalu bagitahu ingin cepat menduduki SPM supaya boleh bekerja.
"Dia teringin membantu keluarga kerana ayahnya seorang tukang gunting rambut manakala ibu hanya suri rumah," katanya.
Razma berkata, bagaimanapun impian cucunya itu hanya tinggal kenangan apabila kesihatan Mohd Danish semakin merosot.
Menurutnya, melihat keadaan cucunya itu membuatkan dia menjadi sebak namun perlu kuat bagi memastikan Mohd Danish kental melawan penyakitnya itu.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03-027-02-029622-9 atas nama Razma Jusoh atau hubungi 01117818427.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!