Rumah pusaka jadi 'port' bungkus dadah
TAIPING - Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas sejumlah 2.549 kilogram dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM76,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Matang dekat sini pada Khamis.
Serbuan sekitar jam 1.30 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping membabitkan sebuah rumah pusaka.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, suspek berusia 51 tahun itu dikesan menjadikan rumah peninggalan keluarga sebagai lokasi pembungkusan dadah sebelum diedar di sekitar kawasan Kuala Sepetang dan Batu Kurau.
Menurutnya, semasa serbuan, polis menemui tiga beg plastik yang di dalamnya berisi 59 peket dadah heroin.
"Semasa serbuan, suspek berada di ruang tamu rumah dan tidak sempat melarikan diri.
"Pemeriksaan kemudiannya menjumpai satu bungkusan plastik bersebelahan suspek dan dua lagi bungkusan dalam almari di bahagian dapur.
"Semua dadah ini dipercayai dibungkus sendiri oleh suspek berdasarkan beberapa peralatan yang kita temui antaranya plastik pembungkus dan penimbang di rumah itu," katanya dalam sidang akhbar di IPD Taiping di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, semua bungkusan dadah itu dianggarkan boleh digunakan seramai 2,000 penagih dalam satu-satu masa.
Katanya, hasil risikan mendapati, suspek yang bekerja sebagai buruh kasar itu mendapatkan bekalan dadah dari luar daerah dan telah aktif dalam aktiviti pengedaran sejak Februari lepas dengan fokus pasaran tempatan.
"Hasil semakan turut mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. Hasil ujian saringan air kencing bagaimanapun mendapati negatif dadah," katanya.
Razlam berkata, dalam serbuan itu, polis juga telah menyita sebuah kereta jenis Proton Saga BML milik suspek dan wang tunai RM2,709.
"Suspek yang masih bujang direman selama lima hari sehingga Isnin depan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!