Saarani dititah menghadap Sultan Perak
IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dititah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Pengerusi BN Perak tiba dengan menaiki kenderaan rasmi pada jam 11.50 pagi bersama Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Terdahulu, Saarani ketika ditemui pemberita berkata, beliau baru sahaja mendapat titah, namun tidak dimaklumkan sama ada berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atau atau perkara lain.
"Saya akan menghadap, namun tidak pasti dititah menghadap bagi tujuan apa. Pihak istana akan buat pengumuman, tunggu," katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak Tahun 2022 di Meru Raya di sini.
Sultan Nazrin berkenan berangkat merasmikan program itu.
Media melaporkan Sultan Nazrin berkenan menerima warkah permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Istana Kinta di sini pada Rabu.
Menurut Saarani, warkah permohonan pembubaran DUN Perak itu dibuat selaras dengan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!