Enakmen Anti Lompat Parti di Perlis berkuat kuasa 1 November

Datuk Seri Azlan Man. - Foto Bernama
Datuk Seri Azlan Man. - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man pada Jumaat mengumumkan Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan peruntukan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa mulai 1 November ini.

Beliau berkata, pindaan yang dipersetujui sebulat suara oleh 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang hadir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam telah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

"Semalam (Khamis) saya dan speaker DUN Perlis, Datuk Hamdan Bahari menghadap baginda (Raja Perlis) di Galeri Diraja Arau pada pukul 3 petang selama hampir sejam, baginda telah memperkenankan pindaan itu dan ia akan diwartakan mulai hari ini (Jumaat).

"Ini bermakna bahawa semua wakil rakyat di negeri ini adalah tertakluk kepada penguatkuasaan pindaan ini mulai 1 November 2022,” katanya kepada pemberita di pejabatnya pada Jumaat.

Beliau berkata mulai 1 November, ADUN yang baharu nanti (selepas Pilihan Raya Umum ke-15) tertakluk pada pindaan ini.

Bernama pada Khamis melaporkan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir ke Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri semalam sebulat suara bersetuju dengan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis bagi membolehkan Enakmen Anti-Lompat Parti dilaksanakan di negeri ini.

Usul bagi pindaan itu dibawa oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man (BN-Bintong) dan disokong Asmaiza Ahmad (BN-Chuping).

Sementara itu, Azlan berkata, pembentangan Bajet Negeri 2023 akan dibentangkan pada bulan Disember.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!