'Bagaikan mimpi dapat tajaan tunai umrah'

Noor Herra melihat Zulkifli memakaikan kain ihram untuk anaknya, Muhammad Danish Riza Hadi, 6.
Noor Herra melihat Zulkifli memakaikan kain ihram untuk anaknya, Muhammad Danish Riza Hadi, 6.
A
A
A

SEREMBAN - Selepas tiga tahun mengharungi episod duka dalam hidupnya, seorang ibu tunggal tidak menyangka menerima hadiah paling istimewa tahun ini iaitu tajaan menunaikan umrah bersama anak autismenya.

Meskipun telah lama menyimpan hasrat untuk Tanah Suci, namun Noor Herra Hardiana Badri, 37, beranggapan ia agak mustahil lebih-lebih lagi dengan kesusahan hidup dihadapinya ketika ini.

Noor Herra berkata, hadiah itu bagaikan mimpi dan tahun ini menjadi tahun rezeki buatnya bersama anak, Muhammad Danish Riza Hadi, 6.

"Selepas berpisah dengan suami, hidup saya agak sukar dan Alhamdulillah tahun ini makin baik. Banyak pihak dan individu tampil membantu selepas kisah saya dilaporkan media.

"Sikit demi sedikit sinar dalam hidup saya kembali. Bermula dengan saya dapat rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR), sekolah anak ditaja dan kini umrah pula...ia betul-betul tidak disangka," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menceritakan mengenai tajaan umrah diterima, Noor Herra berkata, pada bulan Ramadan lalu, sepasang suami isteri yang tidak dikenali menghubunginya dan bertanya tentang keinginan pergi bercuti.

Bagaimanapun Noor Herra berkata, dia tidak terfikir mahu menghabiskan wang untuk bercuti kerana mahu mengukuhkan ekonomi terlebih dahulu.

"Tapi mereka begitu bersungguh-sungguh. Apabila saya beritahu keinginan pergi umrah, mereka terus beritahu mahu menaja saya dengan anak serta emak.

Artikel Berkaitan:

"Waktu itu saya rasa macam mimpi. Saya nak pergi dengan duit sendiri memang tak tahu lagi bila, dan insya-ALLAH Rabu depan saya akan berangkat," katanya.

Noor Herra juga tidak menolak peluang yang tidak disangka-sangka itu hasil daripada nekadnya untuk memperbaiki diri serta sentiasa mengamalkan zikir.

"Ia sepertimana kisah seorang wanita pekerja pembersihan yang setiap tahun dapat menunaikan umrah secara percuma yang pernah diceritakan oleh penceramah agama.

"Saya ambil inspirasi dari kisah mak cik itu di mana diceritakan sikap dan amalannya yang mungkin menjadi asbab dia sentiasa mendapat rezeki tidak disangka-sangka.

"Ia berlaku sendiri dalam hidup saya dan saya betul-betul bersyukur dengan perubahan hidup yang ALLAH berikan kepada saya sekarang," katanya.

Noor Herra sebelum itu ditemui menerima sumbangan kain ihram dan wang tunai disampaikan Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!