Jualan tiket GP Malaysia lebih 50 peratus
LEBIH 50 peratus tiket Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2022 telah habis dijual berbaki seminggu sebelum saingan perlumbaan berprestij itu kembali ‘menggegar’ Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 21 hingga 23 Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, jualan tiket yang sedikit perlahan sebelum ini bertambah baik sejak pelancaran edisi ke-23 GP Malaysia dan pengumuman pelumba negara Syarifuddin Azman atau lebih mesra disapa Damok menerima tiket ‘wild card’ bagi kelas Moto3.
Beliau berkata, biarpun SIC berdepan cabaran tertentu, pihaknya berusaha keras untuk memastikan sasaran 170,000 penonton tercapai sekali gus menyamai jumlah kehadiran sewaktu penganjuran terakhir GP Malaysia pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda.
"Kita jangka 170,000 penonton sama macam sasaran yang kita capai pada 2019 tetapi buat masa ini saya fikir agar sukar untuk mencapai sasaran... kami mempunyai baki seminggu untuk berusaha meningkatkan jualan tiket.
"Setakat ini dah makin dekat 170,000 cuma cabaran tahun ini adalah hujung minggu yang panjang, ramai orang akan mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman selain itu kerana pembubaran Parlimen dan penamaan calon akan datang yang mampu beri kesan,” katanya pada sidang media secara maya pada Jumaat.
Pada masa sama, Azhan Shafriman berkata, harga tiket penerbangan yang tinggi dilihat menjadi faktor penghalang kehadiran peminat dari luar negara, selain ketiadaan juara dunia sembilan kali Valentino Rossi yang bersara pada musim lalu turut mempengaruhi pembelian tiket di kebanyakan litar termasuk SIC.
"Tanpa Rossi di sana, akan ada jurang dan mengambil masa yang lama untuk mengisi jurang itu cumanya tahun ini kita ada Damok dalam Moto3 dan tiga pelumba tempatan lain bersaing dalam Moto2 jadi kita harap dapat tarik lebih ramai penonton untuk menyokong pelumba Malaysia,” katanya.
Awal bulan ini, penaja utama GP Malaysia, Petronas mengumumkan tiga pelumba tempatan iaitu Khairul Idham Pawi atau lebih mesra disapa Super Kip, Kasma Daniel Kasmayuddin dan Azroy Hakeem Anuar masing-masing diberikan tiket ‘wild card’ untuk bersaing dalam kelas Moto2.
Sementara itu, Azhan Shafriman berkata SIC akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan tahap keselamatan sepanjang GP Malaysia berlangsung kekal berada pada tahap optimum bagi mengelak insiden kecurian komponen dan barangan pasukan berlaku seperti pada edisi 2019.
"Dari segi penambahbaikan kita telah pasang lebih kurang 65 CCTV (kamera litar tertutup) dekat paddock bagi memastikan kejadian ini tidak berlaku lagi,” katanya.
Antara paling terkesan dengan insiden itu ialah pasukan Angel Nieto Team, yang menyaksikan beberapa alat ganti seperti tayar depan, set lengkap penyerap hentak dan brek bagi jentera kelas Moto2 dan Moto3 dicuri.
GP Malaysia 2020 dan 2021 telah dibatalkan kerana pandemik Covid-19 global dan sekatan berkaitannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!