MB Selangor akui tidak buat permintaan bubar DUN

Amirudin (dua dari kiri) menyampaikan surat hak milik tanah kepada seorang penerima di pekarangan Masjid Jamek Sultan Hisamuddin pada Jumaat.
Amirudin (dua dari kiri) menyampaikan surat hak milik tanah kepada seorang penerima di pekarangan Masjid Jamek Sultan Hisamuddin pada Jumaat.
A
A
A

SABAK BERNAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengakui tidak membuat permintaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kerana ingin meneruskan pentadbiran dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Amirudin berkata, kerajaan Selangor sehingga kini akan meneruskan mandat sedia ada dan tidak membubarkan DUN serentak dengan kerajaan Persekutuan.

Malah, katanya, kenyataan Istana Selangor mengenai perkara itu dibuat adalah bagi menjelaskan keadaan sebenar supaya tidak timbul seolah-olah Sultan Sharafuddin cuba mengambil pendirian tertentu di luar kerangka perlembagaan.

"Dalam perlembagaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, sekiranya Menteri Besar tawarkan pembubaran DUN, maka baginda akan mengambil kira sama ada perkenan bubar ataupun tidak.

"Apabila Menteri Besar tidak menawarkan pembubaran, namun Tuanku masih boleh memberi nasihat kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Hak Milik Tanah Borang 5A Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak di pekarangan Masjid Jamek Sultan Hihamuddin di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu, katanya, beliau mempertahankan kenyataannya selari dengan Istana Selangor mengenai komitmen kerajaan negeri tidak membubarkan DUN Selangor bagi meneruskan pentadbiran dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Jelas beliau, keputusan kerajaan negeri itu sudah dimaklumkan kepada Sultan Sharafuddin dan baginda tidak menyatakan sebarang bantahan.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, keputusan mengenai meneruskan mandat atau pembubaran DUN juga sering dibincangkan sewaktu pertemuan beliau dengan baginda sebelum ini.

"Perbincangan mengenai bubar ataupun tidak bukan dibincangkan pada kelmarin sahaja, sebaliknya saya sendiri secara peribadi berulang kali secara rasmi dan berkala telah membincangkan tentang bilakah waktu paling sesuai untuk membubarkan DUN atas nasihat daripada semua pihak termasuk Sultan Selangor diambil pertimbangan," jelas beliau.

Katanya, keputusan tidak membubarkan DUN bukan hanya berlaku di Selangor, sebaliknya lima negeri setakat ini masih tiada keputusan mengenainya.

"Kita sedang tunggu keputusan Pulau Pinang sama ada mengikut kerajaan Persekutuan untuk mengadakan pilihan raya ataupun tidak.

"Sebuah negeri lagi belum memutuskan pembubaran ialah di Perak," kata beliau.

Ujar Amirudin, beliau tidak mahu mengulas panjang mengenai negeri lain tetapi yakin ia memberi suasana dan dinamik berbeza berbanding sebelum ini.

"Saya juga bersedia berbincang dengan Menteri Besar negeri lain antaranya Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan supaya kita boleh mencadangkan tarikh yang sesuai diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak agar kos dapat dijimatkan," katanya.

Tegas beliau, kerajaan negeri masih konsisten dengan keputusan untuk tidak membubarkan DUN sehingga hujung tahun bagi mengelakkan risiko banjir.

"Selangor baru tahun lepas dilanda banjir, mustahil kita lupa dengan begitu mudah, sebaliknya harus berjaga jaga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!