Tambah bazar Ramadan di DUN Kesidang
MELAKA TENGAH - DUN Kesidang akan menambah dua lokasi baharu bazar Ramadan bagi memberi peluang lebih ramai orang untuk memperolehi pendapatan sepanjang bulan itu.
ADUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin, berkata dua lokasi baharu termasuk di Taman Merdeka Permai dan Limbongan Jaya yang menyediakan kira-kira 50 tapak sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bazar Ramadan dalam DUN tersebut sebanyak tujuh tempat.
Menurutnya, daripada jumlah itu Pasar Ramadan Batu Berendam Putra dijangka akan terus menjadi tumpuan kerana terdapat kira-kira 120 tapak yang disediakan dan lokasi yang paling terbesar di DUN itu, malah telah menerima lebih 150 borang permohonan bagi kawasan itu sahaja.
Katanya, pihaknya masih lagi membuka peluang tersebut hingga 15 April ini supaya mereka yang berminat dapat mengisi borang permohonan di Kompleks JAPERUN Kesidang sebelum tarikh tutupnya minggu depan.
"Dua lokasi baharu itu bukan sahaja strategik, namun saya yakin dapat memberi peluang lebih ramai orang untuk mencari rezeki pada bulan Ramadan.
"Bagi Pasar Ramadan Batu Berendam Putra pula, kita mendapat borang permohonan melebihi dari tapak yang ada, dan baki permohonan itu kita akan tawarkan mereka di kawasan lain atau di tapak pasar Ramadan baharu yang kita wujudkan pada tahun ini," katanya.
Jelas Seah Shoo Chin, beliau sedaya upaya membantu rakyat dengan menggunakan sistem permohonan hanya melalui JAPERUN sahaja, namun kesal apabila nama beliau terpalit dengan isu perkauman.
"Saya sebenarnya sedaya upaya membantu supaya tapak-tapak ini tidak di salah guna dan bagi peluang kepada mereka yang benar-benar berminat untuk berniaga sahaja dan bukannya mereka yang mendapat keuntungan hasil usaha orang lain.
"Saya kesal bila nama saya tular di media sosial kerana saya juga penganjur pasar malam, sedangkan apa yang saya lakukan bagi pemudah cara dan menggelakkan mereka daripada menjadi mangsa ' ali baba' dan sebagainya," katanya.
Jelas beliau, hasil kutipan yang dianggarkan berjumlah RM20,000 akan disalurkan kepada pihak Majlis Pengurusan dan Komuniti Kampung (MPKK) serta beberapa masjid sebagai dana bagi melaksanakan program kebajikan di kawasan berkenaan.
"Kali ini sebanyak lapan buah masjid terpilih bagi membantu kira-kira 20 orang asnaf dan pemilihan asnaf itu akan dilakukan oleh MPKK bersama pihak masjid bagi meringankan beban mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!