PKNS didik pelajar jadi usahawan junior
Program PROTUNe pupuk ciri keusahawanan sejak di bangku sekolah untuk persediaan masa depan
SHAH ALAM - Kalau nak melentur buluh biarlah bermula dari rebungnya. Itulah pepatah yang paling tepat untuk menggambarkan hala tuju sebenar Program Promosi Jualan Tunas Niaga (PROTUNe) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Program keusahawanan junior itu dilihat sebagai platform pemula yang baik untuk memupuk elemen keusahawanan dalam kalangan pelajar di sekolah.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, PROTUNe merupakan salah satu program pembudayaan keusahawanan yang disediakan oleh PKNS di bawah seliaan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) sebagai latihan praktikal kepada pelajar-pelajar sekolah yang terlibat.
Menurutnya, inisiatif yang mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu memberi pendedahan tentang suasana perniagaan sebenar serta memberi peluang kepada para pelajar merasai pengalaman berinteraksi dan berkomunikasi secara terus dengan pembeli awam.
"Saya rasa situasi pasaran pekerjaan pada masa depan akan menjadi lebih susah, sekarang kita lihat ada orang tiba-tiba diberhentikan kerja.
"Jadi melalui program ini, kita wujudkan elemen keusahawanan itu dari peringkat awal.
"Kita ingin memupuk budaya kerja baharu iaitu mencari rezeki sendiri mengikut kemahiran mereka," katanya selepas merasmikan program tersebut di Kompleks PKNS, Seksyen 14, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mahmud memaklumkan seramai 141 pelajar dari 47 sekolah di seluruh Selangor menyertai program jualan berkenaan yang bermula sejak Khamis hingga Sabtu ini.
Ujarnya, sebanyak 70 reruai menjual pelbagai jenis barangan seperti makanan, pakaian dan lain-lain dibuka dengan sasaran jualan sebanyak RM200,000 sepanjang tiga hari program tersebut berlangsung di sini.
"Peserta tidak semestinya meniagakan barangan yang mereka ingin jual, sebaliknya mereka perlu memikirkan kehendak pelanggan.
"Kita tahu pengunjung yang datang ke sini tidak mahu membeli barangan mahal, jadi kita sediakan produk berdasarkan permintaan pelanggan dan segmen pemasaran.
"Setakat hari kedua ini, kita berjaya mencapai jualan sebanyak RM21,000. Saya yakin sasaran jualan RM200,000 mampu dicapai kerana dijangka lebih ramai pengunjung akan berkunjung ke sini pada hujung minggu ini," katanya.
Selain daripada program jualan, Mahmud berkata pihak PKNS turut memberikan sesi kaunseling kepada peserta program berkenaan segmen pemasaran, aliran keluar masuk kewangan dan lain-lain yang berkaitan.
Katanya, peserta PROTUNe turut dibimbing menerusi kursus-kursus keusawahanan bagi meningkatkan lagi ilmu perniagaan yang komprehensif kepada para pelajar terutamanya dengan pelbagai medium digital pada masa kini.
Program PROTUNe) yang diperkenalkan sejak tahun 1998 adalah satu program usahawan melibatkan pelajar sekolah menengah di Selangor terdiri daripada pelajar tingkatan 1, 2 dan tingkatan 4.
Sekolah yang terlibat perlu menubuhkan syarikat dan mendaftar syarikat tersebut di bawah PKNS.
Seterusnya, pelajar yang terlibat dikehendaki menjalankan aktiviti perniagaan mereka di sekolah masing-masing selama lapan bulan bermula April sehingga November 2022
Para peserta juga perlu menghasilkan produk kreatif dan inovatif untuk dijadikan sebagai produk jualan sekolah yang akan dipertandingkan ke Konvensyen Tunas Niaga Peringkat Negeri Selangor.
Dalam perkembangan lain, Mahmud turut mengajak masyarakat untuk hadir ke Majlis Perasmian Residensi Advena Seksyen 16 di sini pada Sabtu dan Ahad ini.
Caption: Pelajar dari SMK Bukit Gading menjelaskan produk makanan yang dijual kepada pengunjung.
Katanya, sebanyak 232 unit rumah berkeluasan 900 kaki persegi itu dijual pada dua harga berpatutan iaitu RM388,000 dan RM398,000.
"Setakat ini, lebih 50 peratus daripada jumlah unit itu telah ditempah oleh pembeli kerana harganya menarik.
"Projek tersebut mempunyai lanskap menarik, serta dekat dengan kemudahan seperti sekolah, tapak komersial, masjid dan lain-lain.
"Kita akan membuat majlis pelancaran bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang pada Sabtu dan Ahad ini," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!