KPDNHEP sasar jualan KBBM RM3.28 bilion

Alexander Nanta Linggi (tiga dari kiri) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 pada Jumaat. -Foto: Bernama
Alexander Nanta Linggi (tiga dari kiri) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 pada Jumaat. -Foto: Bernama
A
A
A

JOHOR BHARU – Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus atau RM3.28 bilion daripada jumlah jualan berbanding RM3.08 bilion pada 2021.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sasaran itu dibuat hasil daripada keberkesanan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang dijalankan ketika ini.

“Dari tahun ke tahun ada peningkatan aktiviti untuk kempen KBBM ini dan untuk tahun ini (2022), sasaran kita adalah sekurang-kurangnya 2.5 peratus peningkatan berbanding tahun lalu.

“Kita juga merancang untuk bekerjasama dengan beberapa kementerian lain seperti dalam satu program di Kuala Lumpur sebelum ini, kita membantu mempromosikan hasil-hasil kraftangan Malaysia.

“Untuk itu, kita juga merancang untuk melakukan KBBM ini dengan lebih besar pada masa akan datang seperti penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA),” katanya setelah menyempurnakan pelancaran KBBM di Plaza Angsana pada Jumaat.

Sementara itu, Alexander berkata, penganjuran lebih besar KBBM pada masa akan datang dilihat mampu membuka peluang berganda kepada lebih ramai peniaga dan usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Malah katanya, ia juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih ramai orang terutamanya ketika era pasca Covid-19 ketika ini.

“Selain membantu ekonomi rakyat, kita juga berharap KBBM dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada mereka sekali gus ia dapat membantu masalah ekonomi yang dihadapi mereka ketika ini,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!