Mercun bernilai RM120,000 pasaran Deepavali dirampas
KLANG - Polis merampas 266 kotak pelbagai jenis mercun bernilai RM120,000 dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Dato Dollah di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota polis dari Cawangan D7, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan itu turut menahan seorang lelaki dipercayai pemilik gudang tersebut.
"Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang itu, suspek berumur 48 tahun ditahan di gudang yang disyaki menjalankan operasi melibatkan bahan letupan mercun tidak mempunyai permit yang sah.
"Turut dirampas 266 kotak pelbagai jenis bahan letupan mercun yang disimpan di dalam premis tersebut dianggarkan bernilai RM120,000," katanya ketika sidang akhbar di IPD Klang Selatan di sini pada Jumaat.
Berkata, siasatan dijalankan mendapati mercun tersebut dijual secara borong kepada peniaga-peniaga jalanan bagi persediaan sambutan Deepavali.
"Semakan mendapati suspek yang diberkas mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
"Suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
"Polis masih menjalankan siasatan dan akan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh masa yang terdekat.
"Usaha sedang dipergiatkan untuk mengesan dan menangkap pemilik atau peniaga yang terlibat dengan penjualan bahan letupan mercun tanpa permit di kawasan Klang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!