Episod duka bekas atlet karate-do

A
A
A

Rayeon (kiri) mewakili LBS menyampaikan sumbangan Jejak Wira bernilai RM2,000 kepada Chein Wai.
Rayeon (kiri) mewakili LBS menyampaikan sumbangan Jejak Wira bernilai RM2,000 kepada Chein Wai.

BALAKONG - Minatnya terhadap filem aksi lakonan Jackie Chan dan Bruce Lee mendorong bekas atlet karate-do kebangsaan, Fong Chein Wai, 51, menyertai sukan mempertahankan diri.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 1993 itu mula berjinak dengan sukan itu ketika belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK (C) Yu Hua, Kajang pada 1984 dan kejohanan pertama disertainya ketika berusia 14 tahun.

Setelah memenangi beberapa kejohanan terbuka, jurulatih kebangsaan memanggilnya berlatih di Kuala Lumpur pada usia 17 tahun.

“Saya masih ingat lagi ketika itu setiap petang saya naik bas seorang diri dari Kajang ke Kuala Lumpur untuk latihan. Namun, ketika itu saya belum cukup umur kerana syarat sertai kejohanan antarabangsa perlu berumur 18 tahun ke atas.

“Ini menyebabkan saya terlepas beberapa kejohanan selain perlu memfokuskan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kongsinya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau ditemui di rumahnya di Pangsapuri Sri Pulai, Jalan Balakong Jaya di sini, ketika menerima kunjungan daripada Sinar Harian, LBS Bina Group Berhad dan UiTM Private Specialist Centre (UPSC) menerusi program Jejak Wira.

Artikel Berkaitan:

Dr Syakirah (dua dari kiri) bersama wakil UPSC menyampaikan sumbangan kit perubatan kepada bekas atlet itu.
Dr Syakirah (dua dari kiri) bersama wakil UPSC menyampaikan sumbangan kit perubatan kepada bekas atlet itu.

Sepanjang kariernya, antara pengalaman yang tidak dilupakan adalah membawa pulang emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 1992 di Johor dan gangsa pada Sukan SEA 1993 di Filipina.

“Dua bulan sebelum kejohanan Sukma 1992, tangan saya dimasukkan skru dan besi akibat patah tangan, namun saya terpaksa juga sertainya kerana ada pemilihan bagi kejohanan dunia Barcelona.

“Saya tak sangka mampu pulih dalam tempoh singkat dan menjuarai kejohanan,” katanya.

Ketika beraksi di Sukan SEA 1993, emosinya agak terganggu disebabkan putus cinta, namun berjaya bersaing hingga ke separuh akhir sebelum tewas di tangan juara.

Kesibukan berniaga antara sebab kedua ibu bapanya tidak sempat menemaninya ke setiap perlawanan yang disertai.

Namun dia bersyukur kerana ibu bapanya sentiasa memberikan sokongan moral dan mereka insan paling prihatin dari sudut kebajikan dan kos perbelanjaan latihan.

“Ibu saya antara yang paling sibuk masakkan ubat tabib setiap kali saya cedera atau lebam-lebam selepas perlawanan.

“Mereka tak pernah tengok perlawanan saya di stadium dan hanya tahu saya menang setiap kali bawa pulang pingat selain mengikuti perkembangan saya melalui kenalan mereka,” katanya.

Episod duka

Di era kegemilangan Chein Wai merangkul gangsa di Sukan SEA 1993 sebagai atlet karate-do.
Di era kegemilangan Chein Wai merangkul gangsa di Sukan SEA 1993 sebagai atlet karate-do.



Chein Wai mula sakit pada hujung 2004 apabila berdepan masalah psoriasis atau penyakit kulit sebelum menghidap Ankylosing Spondylitis atau artritis yang memberi kesan pada tulang belakang pada 2013.

Beliau kini terpaksa menggunakan tongkat dan berkerusi roda untuk menguruskan diri dan bergerak ke sana sini.

“Saya mula rasa kurang sihat dengan kesan merah pada badan selepas pulang dari pilihan raya di Pekan. Saya ingatkan kesan gigitan nyamuk, namun doktor pakar kulit sahkan saya menghidap psoriasis.

“Oleh sebab beri tumpuan kepada pemulihan, saya terpaksa lupakan bidang sukan dan terputus hubungan dengan dunia luar termasuk kawan-kawan,” katanya.

Beliau kini berulang alik ke Hospital Serdang di bahagian Rheumatoid dan Dermatologi (kulit) dan Hospital UPM di bahagian Ortopedik dan Hematologi (darah) untuk rawatan lanjut.

“Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) banyak membantu menampung kos rawatan yang tinggi. Tanpa bantuan Yakeb, saya tidak tahu nak minta bantuan daripada siapa,” katanya.

Chein Wai menunjukkan pingat gangsa dimenanginya pada Sukan SEA Singapura 1993.
Chein Wai menunjukkan pingat gangsa dimenanginya pada Sukan SEA Singapura 1993.

Meskipun tidak lagi terlibat dalam bidang sukan, beliau tetap bangga kerana dapat mewakili negara dan mengharumkan nama Malaysia.

“Bukan semua orang berpeluang menjadi wakil negara tambahan pula ketika itu persaingan sengit. Banyak persatuan karate di Malaysia dan daripada 15 peserta hanya satu atau dua sahaja yang terpilih wakili negara,” katanya.

Justeru katanya, program Jejak Wira yang hadir menyantuni bekas atlet sangat bermakna buatnya. Chein Wai akui gembira ada yang prihatin tentang kesihatannya dan memberi sumbangan wang tunai berjumlah RM2,000.

“Saya harap lebih banyak pihak swasta dan kerajaan sama-sama turun membantu kerana banyak lagi atlet yang lebih susah daripada saya,” katanya.

Hargai wira negara

Eksekutif Perhubungan Awam dan Media Jabatan Komunikasi Korporat Media dan Digital LBS, Rayeon Lee berkata, ini adalah program kedua LBS turut serta bagi program Jejak Wira bersama Sinar Harian dan UPSC bagi menghargai jasa bekas atlet.

Dr Syakirah melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas Chein Wai.
Dr Syakirah melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas Chein Wai.

“LBS turut menyediakan sumbangan wang tunai yang diharap memberi manfaat kepada Chein Wai. LBS berharap program ini berterusan untuk memberi lebih banyak manfaat kepada wira-wira yang banyak berjasa kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan UPSC, Dr Syakirah Azami berkata, Chein Wai menghidap sakit kronik yang memberi kesan kepada tulang belakang dan memerlukan rawatan lanjut untuk pulih.

“Beliau ada kelebihan apabila berpengetahuan luas berkenaan fisioterapi kerana latar belakangnya sebagai bekas atlet. Saya harap beliau meneruskan fisioterapi kerana ia penting untuk rawatan Ankylosing Spondylitis,” katanya yang turut memuji sifat positif Chein Wai melawan penyakit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!