MB Johor tidak hadir
JOHOR BAHRU - Menteri Besar, Datuk Osman Sapian tidak hadir ke sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan di Putrajaya, hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Akhbarnya, Abdul Hakim Ab Rahman ketika menjawab pertanyaan pemberita menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.
Abdul Hakim berkata, Osman telah mewakilkan Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal ke sesi berkenaan.
"Saya mengesahkan YAB MB tidak hadir ke sesi pemukiman pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura di Putrajaya hari ni, dan beliau telah mewakilkan YB Dr Sahruddin Jamal, Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian untuk hadir dalam sesi tersebut," katanya.
Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan bermula pagi ini, membabitkan pertemuan antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong.
Acara bermula dengan ketibaan Hsien Loong di Bangunan Perdana Putra, Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada jam 9.45 pagi, disusuli pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin.
Selepas itu berlangsung mesyuarat delegasi dari Malaysia dan Singapura sebelum kedua-dua perdana menteri dijadualkan mengadakan sidang media serta membacakan pernyataan bersama.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya dijadualkan hadir jamuan tengah hari rasmi di Seri Perdana, di sini.
Pertemuan tahunan itu yang diadakan secara bergilir-gilir di antara kedua-dua negara merupakan mekanisme penting dalam memperkukuh hubungan serta mencari penyelesaian isu-isu dua hala.
Terdahulu, pengamal media memohon Pejabat Menteri Besar Johor mengeluarkan satu kenyataan berhubung laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang melaporkan ketidakhadiran Osman dalam sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan di Putrajaya, hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!