Cadangan tutup pejabat UNHCR terpulang kepada Malaysia: AS

Brown semasa sesi meja bulat bersama media Malaysia di Kedutaan AS di Malaysia di sini, pada Jumaat. - Gambar Bernama
Brown semasa sesi meja bulat bersama media Malaysia di Kedutaan AS di Malaysia di sini, pada Jumaat. - Gambar Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amerika Syarikat (AS) menyerahkan kepada kerajaan Malaysia untuk membuat keputusan berhubung cadangan menutup pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.

Timbalan Penolong Setiausaha Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Jabatan Negara AS, Melissa Brown berkata demikian semasa sesi meja bulat bersama media Malaysia di Kedutaan AS di Malaysia di sini, pada Jumaat.

Media melaporkan, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad mencadangkan pejabat UNHCR di Malaysia ditutup bagi membolehkan Putrajaya menguruskan pelarian di negara ini dengan lebih baik tanpa "gangguan luar".

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, cadangan untuk menutup pejabat UNHCR di Malaysia, tidak bermaksud hubungan dengan badan antarabangsa itu terputus.

Brown yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi turut memuji Malaysia yang menjadi tuan rumah kepada ramai pelarian dan memastikan mereka mendapat akses pendidikan serta rawatan perubatan.

Mengenai hubungan diplomatik AS-Malaysia yang telah menjangkau 65 tahun, Brown berkata, ikatan itu berakar umbi berdasarkan hubungan rapat antara rakyat, ekonomi dan keselamatan.

"Dari perspektif AS, kami mahu menjalinkan hubungan yang akrab dengan Malaysia, memperkukuh ikatan persahabatan dan kerjasama berdasarkan nilai demokrasi, menghormati hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua negara akan terus memperluas hubungan perdagangan serta pelaburan dengan mengambil kira AS sebagai pelabur asing utama di Malaysia terutama dalam sektor elektronik. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!