Ribut landa Astaka Beserah, peniaga rugi lebih RM150,000

Keadaan di sekitar gerai niaga Astaka Beserah selepas kejadian angin kuat dan hujan lebat pada petang Rabu. (Gambar kecil: Wan Udani, Hishamudin)
Keadaan di sekitar gerai niaga Astaka Beserah selepas kejadian angin kuat dan hujan lebat pada petang Rabu. (Gambar kecil: Wan Udani, Hishamudin)
A
A
A

KUANTAN - Sembilan peniaga makanan di Astaka Beserah mengalami kerugian lebih RM150,000 apabila gerai mereka musnah dalam kejadian ribut sekitar Beserah di sini, kira-kira jam 4.30 petang, pada Jumaat.

Ribut kira-kira setengah jam disusuli hujan lebat turut menyebabkan peniaga dan orang awam cemas dan bergegas mencari perlindungan.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati banyak gerai terbalik, kanopi dan beberapa struktur rak besi patah selain bahan-bahan mentah untuk berniaga turut rosak.

Wakil peniaga di Astaka Beserah, Wan Udani Wan Ahmad,48, berkata, akibat kejadian itu setiap peniaga berdepan kerugian antara RM20,000 hingga RM40,000 seorang.

"Masa kejadian saya sedang mengangkat barang niaga kerana hujan lebat sebelum angin kuat datang dari arah masjid menerbangkan konopi dan peralatan berniaga di sekitar kawasan ini.

"Keadaan itu, membuatkan semua orang bertempiaran mencari tempat selamat.

"Selepas hujan reda, saya dan peniaga mendapati barangan seperti peti sejuk, perkakas dapur dan pinggang mangkuk rosak," katanya yang pernah berdepan dengan situasi sama pada tahun lalu.

Dia yang sudah 24 tahun berniaga sarapan pagi memberitahu, kerosakan tersebut membuatkannya tidak boleh beroperasi dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Wan Udani berharap pihak kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang menguruskan tapak niaga berkenaan akan menguruskan tuntutan insurans mangsa yang terlibat.

Bagi peniaga, Sabani Abd Ghani, 51, mengakui trauma dengan kejadian ribut kuat yang berlaku begitu pantas.

Ketika kejadian, dia sedang mengemas untuk menutup gerainya.

"Ribut begitu luar biasa kerana dengan sekelip mata sahaja kanopi saya dan peniaga lain diterbangkan angin kuat, semuanya musnah dalam sekelip mata.

Sabani mengemas barang yang diterbangkan angin kuat dalam keadaan kira-kira 4.30 petang Jumaat.
Sabani mengemas barang yang diterbangkan angin kuat dalam keadaan kira-kira 4.30 petang Jumaat.

"Dalam keadaan cemas berada di dalam kedai, seorang pelanggan mengajak saya untuk berteduh dalam kenderaannya," katanya yang sudah berniaga lebih 30 tahun di Astaka Beserah.

Dia menganggarkan mengalami kerugian lebih RM20,000 selepas keseluruhan peralatan dan barangan di dalam gerainya musnah.

Peniaga makanan, Hishamudin Abdul Rahman, 53, yang tiada di gerainya ketika kejadian berlaku, bergegas datang sebaliknya dimaklumkan oleh rakan niaganya.

"Bila sampai saya lihat gerai saya dan peniaga lain ranap. Kalau tengok tiada apa yang boleh dibaik pulih dan semuanya rosak," katanya yang berharap agar pihak berkaitan membantu peniaga.

Sementara itu, Penghulu Kampung Darat, Azharuddin Osman berkata, pemimpin setempat termasuk wakil rakyat di kawasan itu telah turun padang bagi membantu peniaga yang terkesan.

"Saya berharap pada pihak membantu meringankan beban ditanggung bagi membolehkan peniaga di sini dapat menjalankan perniagaan mereka semula," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!