Gas pemedih mata cetuskan tragedi Kanjuruhan: Polis
JAKARTA - Punca utama tragedi Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur pada 1 Oktober lepas yang meragut 132 nyawa disebabkan gas pemedih mata yang dilepaskan ke arah orang ramai, kata Menteri Kanan Indonesia.
Laporan tragedi oleh jawatankuasa khas diketuai Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Keselamatan Mahfud MD telah diserahkan kepada Presiden Joko Widodo pada Jumaat.
Dalam satu sidang media, Mahfud berkata, laporan setebal 124 muka surat yang mengandungi perincian mengenai penemuan dan cadangan itu turut mendapati bahawa Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) harus bertanggungjawab sepenuhnya.
"Lembaga eksekutif PSSI dan sub-organisasinya mesti bertanggungjawab," kata Mahfud sambil menambah bahawa polis mesti terus menjalankan siasatan mengenai tragedi itu.
Semasa perlawanan 'East Java Derby' antara Arema FC dan Persebaya Surabaya, tuan rumah tewas buat kali pertama di laman sendiri dalam tempoh 23 tahun sekali gus mencetuskan kemarahan penyokong.
Selepas perlawanan tamat penyokong yang berang memasuki padang untuk berdepan dengan pemain dan pegawai pasukan.
Situasi bertukar tegang, memaksa pihak keselamatan melepaskan gas pemedih mata menyebabkan beribu-ribu penyokong berasak-asak untuk keluar dari stadium melalui beberapa pintu pagar sehingga menyebabkan rempuhan.
Seramai 132 orang maut manakala 622 cedera dalam tragedi itu, memetik angka terkini dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Malang.
Susulan insiden itu, Arema FC didenda RM76,124 oleh Persatuan Bola Sepak Indonesia manakala Polis Indonesia memecat ketua polis Malang dan sembilan lagi anggota.
Pada 7 Oktober, polis mengumumkan enam individu terdiri tiga ahli jawatankuasa penganjur dan tiga anggota polis akan didakwa atas kesalahan jenayah.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya dan Perumahan Awam, Basuki Hadimuljono berkata, kementerian akan memulakan proses menaik taraf stadium itu pada tahun depan.
Pasukan penilai teknikal kementerian mencadangkan tujuh aspek perlu ditambah baik iaitu pintu stadium, pintu kecemasan, lampu, tandas, pagar dan perimeter bangunan utama.
Reka bentuk stadium baharu itu akan disiapkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan termasuk monumen yang akan turut dibina bagi memperingati mangsa tragedi berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!