Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 singkap tirai
SAINGAN Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 (B-18) tahun kembali menyingkap tirai dengan perlawanan Sumbangsih menemukan juara bertahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang menentang SMK Seksyen 7 Shah Alam di Padang Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Shah Alam pada Sabtu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, kejuaraan B-18 yang bermula Sabtu hingga 5 November, akan disertai oleh 32 pasukan terbaik dalam kalangan sekolah seluruh Selangor.
Jelasnya, pemilihan sekolah adalah berdasarkan kejayaan pasukan masing-masing di peringkat Majlis Sukan Sekolah Sekolah Daerah (MSSD).
"Idea menganjurkan kejohanan ini dilaksanakan atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu melihat Selangor melahirkan bakat-bakat baharu dan pelapis bola sepak pada masa depan.
"Kita juga amat beruntung kerana KPS Berhad (Kumpulan Perangsang Selangor Berhad) terus menyokong sebagai penaja kejohanan dan juga Sinar Harian yang menjadi akhbar rasmi kejohanan," katanya.
Tambah Emran lagi, juara dan naib juara kali ini masing-masing akan membawa pulang hadiah lumayan berjumlah RM10,000 dan RM7,000.
Jelas Emran, pemain dan penjaga gol terbaik perlawanan akhir juga akan menerima trofi dan sijil penjaring terbanyak kejohanan.
Untuk rekod terdahulu SMK Shah Alam mencipta sensasi apabila muncul juara Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 selepas mengejutkan juara bertahan SMK Dato' Harun Tanjong Karang, 3-2 dalam perlawanan akhir di Padang Bola Sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19, Shah Alam, Sabtu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!