'Tidak ada satu hari pun tanpa pemeriksaan PATI'

Statistik jumlah PATI yang diusir dari 18 depot imigresen seluruh negara setakat 4 Oktober adalah seramai 26,019 orang.
Statistik jumlah PATI yang diusir dari 18 depot imigresen seluruh negara setakat 4 Oktober adalah seramai 26,019 orang.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan migresen Malaysia telah mengusir 26,019 pendatang asing tanpa izin (PATI) pada tahun ini dengan warga Indonesia merekodkan jumlah tertinggi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, statistik setakat 4 Oktober lalu itu merekodkan warga Indonesia yang diusir adalah seramai 12,922 orang diikuti dengan Myanmar (3,417) dan Filipina (2,393).

Menurutnya, turut diusir adalah PATI dari Vietnam (1,723), Thailand (1,613), Bangladesh (1,568), India (717), Kemboja (429), Pakistan (350), China (264) dan lain-lain negara seramai 623 orang.

“Statistik jumlah PATI yang diusir dari 18 depot Imigresen seluruh negara setakat 4 Oktober adalah seramai 26,019 orang.

“Jumlah ini akan terus meningkat kerana bagi tahanan PATI Filipina di Sabah, kerajaan Filipina telah memberikan kerjasama yang baik untuk kita usir tahanan warga mereka antara 300 hingga 500 orang setiap kali pengusiran.

"Filipina benarkan kita usir warga mereka dalam jumlah yang ramai,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, di dalam depot tahanan, lima warganegara tertinggi yang menjadi tahanan adalah Filipina, Indonesia, Myanmar, Bangladesh serta Thailand.

Katanya, semua PATI yang ditahan di depot tahanan adalah banduan.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana mereka telah dipenjara atas kesalahan yang dilakukan sebelum ini.

"Apabila masuk ke dalam depot, biometrik mereka akan diambil dan mereka akan disenarai hitam serta diletak sebagai imigran larangan masuk ke Malaysia," katanya.

Tambahnya, PATI ini sama sekali tidak akan dibenarkan masuk ke Malaysia.

“Isu PATI ini adalah isu yang sangat diambil berat oleh kerajaan melalui pelaksanaan Op Benteng melibatkan semua agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) yang berganding bahu menjaga sempadan.

“Selain itu, kes-kes tangkapan PATI oleh agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut akan diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, terdapat pelbagai faktor dikenal pasti menjadi penyebab kemasukan PATI ke negara ini.

"Antaranya disebabkan faktor kenalan, saudara mara yang telah berada di dalam negara.

"Selain itu, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang mempunyai peluang pekerjaan yang luas dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar),” ujarnya.

23 operasi dijalankan setiap hari

Jelas Khairul Dzaimee, statistik pada tahun ini setakat 5 Oktober merekodkan pelaksanaan 6,259 operasi di seluruh negara.

Katanya, hasil tindakan itu telah memeriksa 96,664 individu sebelum 16,150 tangkapan PATI dibuat atas pelbagai kesalahan Imigresen.

“Jumlah operasi sebanyak 6,259. Kalau dibahagikan jumlah operasi dengan sembilan bulan bermula Januari, nisbah adalah sebanyak 23 operasi setiap hari. Itulah gambaran betapa seriusnya Imigresen melaksanakan tindakan membanteras PATI.

“Tidak ada satu hari pun tiada pemeriksaan PATI sama ada di rumah kediaman, kilang, kedai makan, pasar atau tepi jalan,” katanya.

Tambahnya, Imigresen turut mengambil tindakan terhadap 238 majikan yang ditahan sepanjang operasi dijalankan.

“Majikan ini terdiri daripada pemilik premis perniagaan, restoran dan kedai makan, rumah kongsi dan tapak pembinaan.

"Selain itu, tindakan turut diambil melibatkan pusat hiburan dan rumah urut, kilang, pengawal keselamatan dan lain-lain,” katanya.

Imigresen tidak benarkan PATI berniaga

Terdapat laporan mendakwa Imigresen membiarkan warga asing berniaga di pasar-pasar dan tiada tindakan diambil.

Tegas Khairul Dzaimee dakwaan sedemikian sama sekali tidak berasas.

"Apa yang didakwa itu tidak tepat, pasar yang popular seperti Pasar Borong Selangor, Pasar Borong Kuala Lumpur dan pasar borong negeri sentiasa diperiksa," katanya.

Jelasnya, warga asing ini pada mulanya bekerja dengan majikan iaitu pemilik lesen gerai di pasar.

“Lama kelamaan majikan akan menyewakan gerai itu kepada pekerja asing mereka dengan sewaan sekitar RM6,000 hingga RM7,000 sebulan.

“Apabila ditahan Imigresen, warga asing itu akan menunjukkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) mereka dan itu memang benar dan sukar hendak diambil tindakan,” katanya.

Jelasnya, PLKS itu memang sah dan majikan itu sendiri layak untuk menggunakan khidmat pekerja asing.

Menurutnya, hakikat sebenar gerai itu dipajak terus kepada pekerja asing.

"Ia isu yang sukar hendak dibuktikan dan kerana itu dari semasa ke semasa akan timbul isu mengapa Imigresen dikatakan tidak mengambil tindakan.

“Tetapi, ini tidak bermakna Imigresen mengalah, bagi pasar ini, kita telah periksa 276 orang dan tahan 27 PATI,” katanya.

Statistik setakat 4 Oktober merekodkan warga Indonesia adalah yang tertinggi diusir iaitu seramai 12,922 orang diikuti dengan Myanmar (3,417) dan Filipina (2,393).
Statistik setakat 4 Oktober merekodkan warga Indonesia adalah yang tertinggi diusir iaitu seramai 12,922 orang diikuti dengan Myanmar (3,417) dan Filipina (2,393).

Melancong tapi melacur

Dedah Khairul Dzaimee lagi, pihaknya telah mengesan kegiatan wanita asing yang datang ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial, namun sebenarnya terjebak dengan kegiatan pelacuran.

Menurutnya, tangkapan yang ramai untuk gadis pelayan pelanggan (GRO) dan sindiket pelacuran dilihat dari Vietnam, Thailand dan Kemboja.

“Ini antara tiga negara yang tinggi apabila serbuan membabitkan kegiatan terbabit dijalankan. Mereka masuk sebagai pelancong dan pelajar kerana di pintu masuk tiada sebab untuk menghalang kemasukan mereka.

“Dari segi perbelanjaan, tiket pulang dan hotel, syarat utama ini dipatuhi mereka. Namun apabila sampai, mungkin mereka akan ke negeri lain.

“Apabila habis tempoh pas syarat lawatan sosial, mereka akan pulang secara sah. Mungkin sebulan kemudian mereka akan masuk semula,” katanya.

Katanya, Imigresen percaya ada pihak yang menguruskan kegiatan itu kerana wanita itu bergerak secara berkumpulan.

“Memang ada pihak tertentu menguruskan mereka. Ada individu yang akan mengambil mereka setibanya sampai di Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, berdasarkan modus operandi yang dikesan, kegiatan pelacuran ini beroperasi di premis kedai dan hotel selain terdapat wanita asing yang bergerak secara individu.

“Sama ada bersekongkol dengan pihak hotel atau sebaliknya masih dalam siasatan. Kita juga ada mengesan warga asing yang bergerak secara sendirian dengan menawarkan khidmat seks melalui WhatsApp atau WeChat selain hotel yang kerap bertukar lokasi,” jelasnya.

Tahan semua etnik Rohingya yang mendarat

Mengulas mengenai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), kata beliau,

Imigresen bertegas bahawa mana-mana pelarian etnik Rohingya yang mendarat di pantai Malaysia akan ditahan di depot tahanan.

“Terdapat NGO yang membangkitkan perkara ini mengapa mereka ditahan. Mereka ditahan untuk elak kebanjiran kedatangan kumpulan yang lain.

“Saya ambil tindakan tegas dan kuatkuasakan peraturan di mana etnik Rohingya yang datang akan ditahan dalam depot dan hasil tindakan ini berlaku pengurangan kemasukan,” katanya.

Khairul Dzaimee menjelaskan, pihaknya turut mengenal pasti kawasan pantai di utara semenanjung antara lokasi tumpuan kemasukan pelarian Rohingya.

Jelasnya, terdapat juga PATI dari negara tidak bergolak seperti Bangladesh memiliki kad UNHCR.

“Tindakan yang kita ambil adalah tahan dan akan diusir. Jika ada kad UNHCR tapi terlibat dalam aktiviti jenayah, mereka ini akan disiasat dan didakwa. Namun sedikit masalah apabila pengusiran etnik Rohingya ini adalah keengganan Myanmar menerima mereka.

“Tahun ini setakat 5 Oktober, seramai 5,092 pemegang kad UNHCR telah diperiksa,” ujarnya.

Selain itu, katanya lagi, Imigresen juga telah menumpaskan sindiket pemalsuan kad UNHCR pada tahun lalu.

“Saya juga percaya ada sindiket yang menguruskan perjalanan etnik Rohingya ini ke pejabat UNHCR. Jika tidak mana mungkin mereka yang masuk ke dalam negara melalui hutan atau pantai boleh sampai ke pejabat UNHCR di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur untuk dapatkan kad UNHCR,” katanya.

Imigresen tidak pernah leka dalam usaha membanteras PATI kerana itu adalah tugas pihaknya selain mengawal pintu masuk negara.
Imigresen tidak pernah leka dalam usaha membanteras PATI kerana itu adalah tugas pihaknya selain mengawal pintu masuk negara.

PATI ancam masalah sosial, kesihatan

Jelas beliau, Imigresen tidak pernah leka dalam usaha membanteras PATI kerana itu adalah tugas pihaknya selain mengawal pintu masuk negara.

“Lambakan PATI memberi ancaman sosial hingga mengakibatkan rakyat kita rasa tidak selesa di sesuatu kawasan.

“Lambakan ini turut menjejaskan isu kebersihan dan penyakit seperti batuk kering dan sebagainya. Jika mereka masuk sebagai PATI, kita tidak tahu sama ada mereka ada suntikan vaksin atau suntikan kesihatan lain yang boleh merisikokan pembawaan penyakit,” katanya,

Tegasnya, diingatkan kepada mana-mana majikan agar tidak mengambil PATI bekerja dan itu adalah satu kesalahan.

“Kita tidak berkompromi dengan mana-mana isu PATI. Mana-mana yang bersubahat melindungi PATI akan berdepan hukuman berat tidak kira individu atau organisasi,” jelasnya.

INFO

Pengusiran PATI tahun ini sehingga 4 OktoberIndonesia – 12,922

Myanmar – 3,417

Filipina – 2,393

Vietnam – 1,723

Thailand – 1,613

Bangladesh – 1,568

India – 717

Kemboja – 429

Pakistan – 350

China – 264

Lain-lain – 623JUMLAH - 26,019 orang

Senarai depot tahanan ImigresenTawau

Papar

Sandakan

Kota Kinabalu

Kemayan

Tanah Merah

Semuja

Semenyih

Pekan Nenas

Machap Umboo

Lenggeng

Langkap

KLIA

Juru

Bukit Jalil

Belantik

Bekenu

AjilStatistik PATI (1 Januari – 5 Oktober)Jumlah Operasi – 6,259

Jumlah diperiksa – 96,664 orang

Jumlah tangkapan PATI – 16,150 orangJumlah tangkapan majikan – 238 orang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!