PRU15: Amanah hasrat tandingi kerusi milik Bersatu
PADANG BESAR - Parti Amanah Negara (Amanah) berhasrat bertanding di kerusi yang pernah diperuntukkan kepada Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata dasar ditetapkan Pakatan Harapan (PH) amat jelas bahawa semua parti komponen boleh menuntut kembali kerusi yang diberikan kepada Bersatu pada PRU14.
"Alhamdulillah perbincangan telah selesai tanpa sebarang masalah dan kita hanya tunggu pengumuman calon pada Konvensyen PH yang akan diadakan di Ipoh, Perak pada 20 Okt ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bicara Politik Semasa di sini malam tadi.
Gabungan PH merangkumi PKR, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Pada PRU14, Bersatu adalah komponen PH sebelum bertindak keluar daripada gabungan tersebut pada 23 Feb 2020.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata pada perbincangan sebelum ini di peringkat nasional, Amanah akan bertanding di 30 hingga 40 kerusi pada PRU15, namun ia terpulang kepada keputusan yang akan diumumkan kelak.
Beliau berkata pada Konvensyen PH yang akan berlangsung di Ipoh itu juga, senarai nama calon termasuk calon perdana menteri, manifesto, tema dan lagu gabungan tersebut akan diumumkan untuk PRU15. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!