Semua calon GTA Perak berpendidikan, anak tempatan
IPOH - Gerakan Tanah Air (GTA) Perak hanya memilih individu berpendidikan tinggi dan anak tempatan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha GTA Perak, Aswannudin Hariffudin berkata, senarai nama calon yang dipilih untuk bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah pun diserahkan kepada Majlis Presiden GTA untuk dimuktamadkan.
Menurutnya, kesemua calon juga merupakan muka baharu dan bersesuaian dengan GTA yang baru sahaja ditubuhkan.
"Kita meletakkan syarat sekurang-kurangnya mesti ada diploma untuk jadi calon GTA kerana kita mahu tampilkan calon yang benar-benar berpendidikan dan layak mewakili gabungan ini.
"Selain itu juga, kita memberi keutamaan kepada anak tempatan yang disenangi masyarakat untuk bertanding sebagai calon GTA nanti," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, jumlah kerusi yang akan ditandingi GTA di Perak hanya akan diumumkan oleh Majlis Presiden termasuk pembahagian kerusi dalam kalangan komponen.
Jelas Aswannudin, kebanyakan kerusi yang akan ditandingi nanti tertumpu di kerusi majoriti pengundi Melayu.
Sungguhpun begitu, beliau berkata, tidak bermakna GTA tidak akan bertanding di kawasan parti seperti DAP sebaliknya dijangka berlaku pertembungan dengan parti-parti bukan Melayu juga.
Sementara itu, Aswannudin yang juga Setiausaha Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Perak berkata, secara dasarnya pembahagian kerusi dengan komponen GTA di negeri ini hampir selesai.
Katanya, komposisi calon juga akan melibatkan golongan muda dan wanita selain calon-calon berpengalaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!