Thinaah, Pearly buka langkah di jelajah Eropah

Thinaah (kanan) dan Pearly akan menyertai jelajah Eropah bermula Selasa. - Foto Agensi
Thinaah (kanan) dan Pearly akan menyertai jelajah Eropah bermula Selasa. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN badminton wanita negara, M. Thinaah memuji pasangannya, Pearly Tan yang mempunyai semangat kental dan tidak mudah mengalah selepas baru pulih daripada kecederaan hamstring dialami dalam Terbuka Jepun, awal bulan lalu.

Thinaah memberitahu, enggan terlalu mendesak pasangannya itu untuk kembali aktif di gelanggang, sebaliknya beraksi mengikut keupayaan sebenarnya daripada aspek mental dan fizikal.

Apa yang penting ketika ini, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu melihat proses pemulihan lutut Pearly sebagai petanda positif untuk mereka kembali ke gelanggang memandang sudah berehat lebih sebulan.

“Semangatnya untuk kembali ke gelanggang sangat kuat jadi saya tidak begitu khuatir tentangnya (Pearly),” katanya.

Gandingan negara itu akan kembali ke gelanggang bermula dengan saingan Terbuka Denmark 2022 pada Selasa.

Reaksi positif yang ditunjukkan rakannya itu membuka peluang buat pasangan wanita nombor satu negara itu untuk merebut mata kelayakan ke Final Jelajah Dunia BWF musim ini di Guangzhou, China dari 14 hingga 18 Disember depan.

“Saya lihat pemulihannya berjalan dengan baik dan lebih cepat daripada jangkaan awal. Saya hanya mahu dia berasa 100 peratus sebelum kembali menyertai pertandingan.

“Kami teruja untuk mengharungi siri kejohanan di Eropah memandangkan sebelum ini penyertaan kami masih lagi samar-samar, sebab itu ketika ini kami teruja,” ujar Thinaah.

Artikel Berkaitan:

Memegang reputasi juara Sukan Komanwel laluan pasangan negara itu bukan mudah sepanjang jelajah Eropah kali ini.

“Berdasarkan undian, kami tidak akan menempuhi laluan mudah,” katanya.

Jelajah Eropah akan bermula di Odense diikuti Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo. - Stadium Astro.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!