Pang Ron-Ee Wei tekad tingkatkan ranking

Pang Ron (kanan) dan Ee Wei kini berada di ranking ke-40 dunia. - Foto Bernama
Pang Ron (kanan) dan Ee Wei kini berada di ranking ke-40 dunia. - Foto Bernama
A
A
A

PASANGAN beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei bertekad untuk meningkatkan kedudukan di ranking dunia sebelum tempoh kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 bermula tahun depan.

Pang Ron berkata, beliau dan Ee Wei yang ketika ini berada di ranking ke-40 dunia akan berusaha menampilkan prestasi terbaik di Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo di Jerman untuk berada di kedudukan terbaik dunia, sekali gus memudahkan laluan layak beraksi di temasya sukan berprestij tersebut.

Pemain berusia 24 tahun itu berkata, sekiranya mereka berada di ranking lebih baik, ia dapat mengelak diundi berdepan pasangan di kedudukan lebih tinggi di pusingan awal dalam aksi kelayakan berkenaan.

“Buat masa sekarang saya tidak berpuas hati dengan ranking sebab kami tidak mencapai apa-apa yang memberangsangkan. Jadi kami perlu dapatkan ranking lebih baik untuk beraksi di Olimpik,” katanya.

Terbuka Perancis akan berlangsung dari 25 hingga 30 Oktober, manakala Terbuka Hylo bermula 1 hingga 6 November depan.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menetapkan tempoh kelayakan Paris 2024 bermula 1 Mei 2023 hingga 28 April 2024.

Dalam pada itu, Pang Ron berkata, pada masa ini, beliau fokus untuk mencari keserasian bersama pasangannya dalam sesi latihan.

Mengulas mengenai perkembangan kesihatan matanya, Pang Ron berkata, ia berada pada tahap 80 peratus untuk pulih sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Mata saya semakin baik, setiap hari semakin baik. Sekarang saya tak rasa ia mengganggu sangat sebab matlamat saya memang fokus untuk berjuang di Olimpik,” katanya.

Pang Ron-Ee Wei terpaksa menarik diri daripada Terbuka Denmark 2022 yang berlangsung dari 18 hingga 23 Oktober selepas Pang Ron dijangkiti ulser kornea pada mata kanannya, baru-baru ini. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!