Debaran Derbi Naning Melaka, Negeri Sembilan kian terasa
KEHANGATAN Piala Emas Raja-Raja 2022 memasuki minggu ketiga pada Sabtu, kembali dengan perlawanan sengit dalam pemburuan setiap pasukan ke slot peringkat kalah mati edisi ke-100 kali ini.
Pendahulu Kumpulan A, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpeluang melebarkan kedudukan apabila menanti kunjungan pasukan tercorot TNB Kilat di Stadium MINDEF.
Namun, tumpuan pastinya terarah kepada perlawanan Derbi Naning Melaka melayan kunjungan pasukan tangga kedua Negeri Sembilan ASJ Utuh di Stadium Hang Tuah.
Negeri Sembilan pastinya mahu memberikan tekanan kepada pendahulu, manakala Melaka terus memburu keputusan positif.
Bomba Malaysia yang memimpin Zon Timur pula bertandang ke Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu berdepan Kelantan dalam perlawanan Kumpulan B.
Sementara itu, Jakim Terengganu yang masih berusaha memburu kemenangan pertama menanti kunjungan pasukan tangga kedua Pahang di Stadium UNITEN.
Perlawanan Kumpulan C pula menyaksikan pendahulu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menanti kunjungan pasukan tangga kedua Selangor di Padang Pulapol.
Juara Piala Agong, Kuala Lumpur yang masih kemarau kemenangan pula berdepan pasukan tercorot kumpulan MySPRM-ACe10 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Sementara itu, dua perlawanan saingan zon Utara Kumpulan D pula berlangsung pada Ahad.
Pulau Pinang akan melayan kunjungan pendahulu Perak di Stadium Bandaraya manakala Kedah yang memburu kemenangan pertama menanti Perlis di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia Sintok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!