[VIDEO] Kerjasama semula UMNO, Pas: Tunggu lepas PRU15

Mahdzir (dua dari kanan) hadir merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Terap termasuk melancarkan jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) bahagian tersebut pada Sabtu.
Mahdzir (dua dari kanan) hadir merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Terap termasuk melancarkan jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) bahagian tersebut pada Sabtu.
A
A
A

PADANG TERAP - Harapan untuk melihat UMNO dan Pas bekerjasama semula akan dapat dilihat selepas selesai Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) berikutan Pas sudah membuat keputusan untuk bergerak bersama Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tiada apa yang boleh dilakukan lagi ketika ini kerana pimpinan tertinggi Pas sudahpun membuat keputusan tersebut pada Khamis.

"Kita pilihanraya dululah, kita pergi atas keputusan yang telah dibuat. Kita pun tidak ada apa yang perlu nyatakan lagi, kita terima keputusan itu (keputusan Pas) sebagai parti yang lama, jatuh bangun dan pengalaman yang panjang. Itu cerita lain, tunggu lepas pilihanraya," katanya pada sidang akhbar di Padang Kerasak, dekat sini pada Sabtu.

Ditanya kemungkinan akan berlaku kerjasama kedua-dua parti pada saat-saat akhir sebelum PRU15, beliau tidak tahu, sebaliknya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pimpinan Pas.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas tentang kerjasama UMNO dan Pas yang mungkin akan kembali terjalin selepas PRU15.

Terdahulu, Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap hadir merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Terap termasuk melancarkan jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) bahagian tersebut.

Turut hadir, Timbalan UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Ghazali Ibrahim.

Pada Khamis, Pas membuat keputusan memilih PN sebagai sekutu menghadapi PRU15 dan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata keputusan itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Mahdzir juga enggan mengulas lanjut kenyataan seorang pemimpin Pas yang mendedahkan supaya tiada pertembungan berlaku di 27 ‘kerusi kritikal’ dengan UMNO pada PRU15 bagi memastikan kerusi berkenaan tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, itu adalah keputusan yang dibuat oleh Pas dan terpulang kepada parti tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!