Anwar lancar Iltizam Wanita PH

Anwar merasmikan Majlis Pelancaran Iltizam Wanita dan Jentera PRU15 di Dewan Raja Muda Musa di sini, pada Sabtu. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Anwar merasmikan Majlis Pelancaran Iltizam Wanita dan Jentera PRU15 di Dewan Raja Muda Musa di sini, pada Sabtu. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Iltizam Wanita PH untuk Malaysia yang membentuk sebahagian tawaran dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di sini pada Sabtu.

Ia merangkumi perlindungan hak, jaminan kesejahteraan dan kemakmuran untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Ketua Wanita PH, Aiman Athirah Sabu berkata, Iltizam Wanita PH untuk Malaysia itu adalah terjemahan aspirasi dan kejituan tekad Wanita PH mencetus era baharu politik negara ke arah pemerintahan bermaruah, adil dan inklusif diterajui PH.

"Pelancaran ini menghimpunkan 1,500 jentera Wanita PH seluruh Malaysia khususnya dari akar umbi sebagai barisan hadapan kemenangan PH dalam PRU15.

"Ia juga menjadi wadah menggembleng kebangkitan rakyat menolak kebobrokan pentadbiran BN dan Perikatan Nasional (PN).

"Komitmen kita adalah untuk menyelamatkan negara dan yang paling penting adalah untuk memastikan kemenangan dalam PRU15," katanya pada Majlis Pelancaran Iltizam Wanita dan Jentera PRU15 di Dewan Raja Muda Musa, di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Wanita PH, Aiman Athirah Sabu yang juga Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah); Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek; Ketua Wanita DAP, Chong Eng dan wakil Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Iltizam Wanita PH untuk PRU15 tertumpu kepada enam komponen penting melibatkan wanita, kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU), pembangunan sosial dan impak perubahan iklim serta inisiatif ekonomi peduli wanita.

Artikel Berkaitan:

Antara tawaran menarik adalah menyarankan pindaan perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak ibu warga Malaysia yang melahirkan anak di luar negara, dapat menurunkan kewarganegaraan Malaysia kepada anak mereka.

Selain itu, meminda Akta OKU untuk memastikan tiada diskriminasi dalam akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan, perumahan, perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan serta lantikan seorang Pesuruhjaya OKU dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), mewakili suara OKU.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!