DUN Pulau Pinang tidak bubar hingga tahun depan

Anthony Loke - Foto Bernama
Anthony Loke - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Sabtu memutuskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tidak akan dibubarkan sehingga tahun depan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pendirian asal PH untuk tidak membubarkan DUN Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang pada tahun ini harus dikekalkan bagi mengelak keadaan yang akan menggambarkan PH tidak bersatu.

Katanya, DUN Pulau Pinang hanya akan dibubarkan pada tarikh yang lebih kondusif iaitu selepas tempoh monsun, dan ia satu keputusan yang sukar dan mengecewakan kepimpinan DAP Pulau Pinang yang mahu membubarkan DUN negeri itu serentak dengan pembubaran Parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya perlu mengecewakan rakan sendiri (DAP) di Pulau Pinang kerana tahu kalau kita membuat keputusan supaya DUN Pulau Pinang dibubarkan tetapi DUN Negeri Sembilan dan Selangor tidak dibubarkan, itu akan diterjemahkan sebagai 'breaking of ranks' yang akan menjadi senjata dan peluru bagi menggambarkan PH seolah-olah tidak bersatu dan membuat keputusan secara kolektif," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi PH dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

"Saya perlu membuat keputusan ini sebab perpaduan dan keutuhan PH untuk menghadapi PRU teramat penting” katanya.

Anthony Loke berkata, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC) telah diadakan dua kali untuk membincangkan permintaan kepimpinan DAP Pulau Pinang berkenaan hasrat membubarkan DUN Pulau Pinang setelah mendengar hasrat pengundi di negeri itu untuk tidak mengundi dua kali.

Artikel Berkaitan:

"Namun pimpinan tertinggi PH telah membuat keputusan mengekalkan pendirian untuk menangguhkan pembubaran DUN di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor. Dalam satu pakatan, walaupun tidak ada satu pandangan yang sama tetapi akhirnya perlu ada keputusan bersama,” katanya.

Sehingga kini, hanya Pahang dan Perlis yang ditadbir BN telah membubarkan DUN masing-masing, manakala Pas yang mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah, juga mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN di tiga negeri berkenaan.

Sementara itu, Anwar berkata PH akan memutuskan bersama soal logo dan pembahagian kerusi sewaktu Konvensyen PH pada 20 Oktober ini di Ipoh. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!