PRU15: Pas guna simbol sendiri, tidak mahu pengundi keliru

Mohd Amar - Foto Bernama
Mohd Amar - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Keputusan Pas menggunakan simbol parti itu sendiri di tiga negeri di bawah pentadbirannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi terutamanya pengundi veteran.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, penggunaan simbol bulan di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU15 dibuat mengikut permintaan ahli dan pimpinan negeri terlibat selain mudah diingati.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, penggunaan simbol Perikatan Nasional (PN) boleh mengelirukan kerana warnanya hampir sama dengan BN.

"Logo PN baharu sangat dan mungkin dengan itu kadang-kadang boleh mengelirukan kerana warnanya hampir sama dengan biru BN.

Hasil perbincangan pimpinan kita dengan pimpinan Bersatu, akhirnya dipersetujui supaya tiga negeri ini (calon Pas) menggunakan lambang bulan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Panchor Sejahtera di Kompleks Tarbiah, Panchor, di sini pada Sabtu.

Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu memutuskan untuk menggunakan simbol parti itu sendiri di tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU15.

Ditanya mengenai permohonan Pas Selangor untuk turut menggunakan simbol parti itu sendiri pada PRU15, Mohd Amar berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan di peringkat Pas Pusat seterusnya mendapatkan persetujuan bersama melalui mesyuarat PN.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata Pas masih kekal dengan pendirian tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah supaya pilihan raya negeri diadakan serentak dengan peringkat Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini sepertimana pimpinan kita sebut tidak ada keperluan untuk kita bubar sebab kita tidak bersetuju Parlimen dibubar pada musim banjir di Pantai Timur.

Besar atau kecil banjir itu kita tidak tahu. Jadi apabila banjir, kita kena fokus kepada dua perkara dan sebagai kerajaan terutama orang parti pun tidak mahu fikir pilihan raya,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!