'Keputusan atas nasihat pegawai dilantik Mohamed Apandi'

Dr Mahathir - Foto Bernama
Dr Mahathir - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa keputusan untuk tidak meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh adalah berdasarkan nasihat pegawai-pegawai yang dilantik bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober lepas bahawa kemungkinan terdapat kecuaian dan kekhilafan daripada Dr Mahathir apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman ICJ pada 2008.

"Itu pendapat dia (Perdana Menteri). Ada kecuaian,” kata Dr Mahathir kepada media selepas merasmikan persidangan dan pameran "Beyond the Pandemic Empowering Seniors for their Best Years” di sini pada Sabtu.

Menjawab soalan wartawan apakah Malaysia perlu menuntut Batu Puteh, Dr Mahathir berpandangan bahawa apabila berjanji dengan Singapura, maka Malaysia akan terima apa saja keputusan yang dibuat oleh ICJ.

Dalam pada itu, ditanya mengenai hasrat Pengerusi Pertubuhan Perubahan Rakyat Malaysia (Gerak), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor untuk bertanding di kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Dr Mahathir berkata, sesiapa pun boleh bertanding di Langkawi.

"Saya tetap di Langkawi. Tapi ada orang lain nak masuk, masuklah. Langkawi dulu kemenangan kepada UMNO sehingga tewas pada PRU14. Sekarang PRU15 tidak tahulah kalau UMNO semakin berpengaruh,” katanya.

Mengenai kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat bahawa parti itu bersedia untuk mempertimbangkan kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada PRU15, Dr Mahathir berkata perpecahan dalam parti-parti lawan akan menyebabkan kekalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!