PBRS saran BN bergerak solo di Sabah
KOTA KINABALU - Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyarankan keputusan BN untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga dilaksanakan di Sabah.
Presidennya, Tan Sri Joseph Kurup percaya kerjasama BN-Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya akan beri kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN).
"PBRS serta pemimpin lain menyokong penuh kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN akan bertanding secara solo dan menyarankan agar keputusan BN untuk bertanding secara solo dibuat secara konsisten merangkumi PRU15 di Sabah juga, selaras dengan memorandum PBRS kepada BN lebih awal.
"PBRS percaya bahawa kerjasama yang bakal dijalin antara BN dan GRS akan hanya memberi kelebihan kepada pihak PN," katanya dalam kenyataan pada malam Sabtu.
Katanya lagi, saranan itu turut mengambil kira maklum balas 99 peratus pemimpin bahagian dan penyokong akar umbi PBRS yang tidak bersetuju dengan kerjasama tersebut.
"Maka, PBRS berpendirian teguh agar BN bergerak secara solo dalam mendepani PRU15 bagi mengekalkan imej BN yang sentiasa berpaksikan kesederhanaan dan mampu menawarkan kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama di dalam negara ini," tegasnya.
Sebelum itu, GRS-BN Sabah dilaporkan meneruskan kerjasama bagi menghadapi PRU15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!