Semangat membara Nur Aiman

Taminiaux (depan) mengungguli Peringkat 5 LTdL dari Kuala Kangsar ke Kulim pada Sabtu.
Taminiaux (depan) mengungguli Peringkat 5 LTdL dari Kuala Kangsar ke Kulim pada Sabtu.
A
A
A

TIDAK kenal erti mudah menyerah kalah dalam kamus hidup pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff tatkala dia kini mempertaruhkan Jersi Merah selaku Raja Bukit pada perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022.

Dengan hanya berbaki tiga peringkat perlumbaan sebelum LTdL edisi ke-26 tahun ini melabuhkan tirainya, Nur Aiman – pemenang pingat emas acara lebuh raya Sukan SEA Hanoi 2021 pada Mei lalu, kini berkongsi 29 mata dengan rakan sepasukannya, Jambaijamts Sainbayar.

Namun, Nur Aiman masih kekal peneraju carta Raja Bukit berbanding Sainbayar yang mengutip enam mata maksimum di satu-satunya zon pendakian pada Peringkat 5 dari Kuala Kangsar, Perak ke Kulim, Kedah yang merangkumi jarak 172 kilometer (km) pada Sabtu.

"Perlumbaan hari ini (Sabtu) sangat mencabar, sejak awal hingga akhir. Aiman terlalu agresif pada awal perlumbaan, sama juga dengan Sainbayar kerana kami masing-masing cuba untuk mengutip mata (di zon pendakian di Sumpitan).

"Tetapi Aiman tak dapat sebarang mata di zon pecutan itu. Jadi, Aiman sedar untuk kekalkan jersi ini (Jersi Merah) makin sukar kerana kami sekarang berkongsi mata tetapi akan cuba lagi pada Peringkat 7 dan 8 di Langkawi.

"Pada Peringkat 6 (Georgetown ke Alor Setar) esok (Ahad), Aiman boleh rehat sebab tiada KOM (zon pecutan). Aiman akan fokus mata dalam empat lagi KOM kecuali di Gunung Raya untuk kekalkan Jersi Merah ini," katanya kepada Sukan Sinar sejurus tamat perlumbaan.

Sementara itu, strategi pakar pecut Alpecin-Deceuninck, Lionel Taminiaux berada dalam kelompok pendahulu yang melibatkan 11 pelumba ketika perlumbaan berbaki 35km ternyata membuahkan hasil apabila dia muncul juara Peringkat 5 dengan catatan masa 3 jam 41 minit dan 42 saat (s).

Pelumba berusia 26 tahun itu berjaya mengetepikan Julius van den Berg daripada pasukan EF Education-EasyPost dan Carter Bettles (Ara Pro Racing Sunshine Coast), masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Artikel Berkaitan:

Ia merupakan kemenangan ketiga Taminiaux – pelumba kelahiran Belgium dalam kariernya setakat ini selepas muncul juara Trophée Harmonie Mutuelle pada 2019 dan juara peringkat keempat Grand Prix des Hauts de France tahun ini.

"Ia satu perjudian untuk melakukan pecutan terakhir secara solo dan pada jarak 15 meter terakhir, saya mengawal kayuhan dengan baik untuk muncul juara. Ia memang satu saingan yang cukup sukar tetapi semuanya berjalan dengan lancar sejak awal perlumbaan.

"Walaupun kami berpeluang untuk muncul juara sejak Peringkat 1 dan 2 lagi tetapi kami gagal. Semalam (Jumaat) rakan saya, Jakob (Mareczko) menang dan hari ini (Sabtu) saya pula mengambil peluang untuk meraih kemenangan pada Peringkat 5,” kata Taminiaux.

Dalam pada itu, Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan kekal milik pelumba Movistar Team, Ivan Ramiro Sosa yang mengumpul catatan masa keseluruhan 18:16.21s bagi meninggalkan pencabar terdekatnya, Hugh Jihn Carthy (EF Education-Eastpost) dengan perbezaan 0.23s.

Pelumba Movistar Team, Max Kanter berjaya merampas Jersi Hijau selaku Raja Pecut daripada Gleb Syritsa daripada Astana Qazaqstan Team, manakala Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) pula kembali menjadi milik Sainbayar yang sebelum ini disarung pelumba Astana Qazaqstan Team, Andrey Zeits.

Selepas mengharungi jarak perlumbaan kedua terpanjang di Peringkat 5, para pelumba akan beralih ke laluan lebih pendek dari Georgetown ke Alor Setar merangkumi 120.4km pada Ahad dengan tiga zon pecutan iaitu di Jambatan Pulau Pinang, Bagan dan Sungai Petani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!