'Saya yakin jumlah keluar mengundi kurang'

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menjangkakan bahawa jumlah pemilih berdaftar keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berkurang.

Ujar beliau, ia berikutan faktor pilihan raya tersebut diadakan pada musim banjir sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat untuk turun mengundi.

Katanya, situasi tersebut sememangnya peluang yang dinantikan oleh BN untuk memperoleh keputusan seperti mana yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

“Saya tidak boleh bayangkan kalau masa mengundi itu berlaku banjir, saya yakin (jumlah) orang mengundi akan kurang.

Bila kurang orang keluar mengundi, itulah yang dikehendaki oleh UMNO dan BN sebab mereka dah mencipta dua kemenangan besar di PRN Melaka dan Johor apabila peratus orang keluar mengundi begitu rendah.

“Sepatutnya dalam negara yang mempraktikan demokrasi, kita mahu rakyat sebanyak mungkin terlibat dalam pilihan raya tetapi di Malaysia ini, peraturan yang pelik pula berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sebuah program 'Fundraising Dinner: Amanah Menuju Putrajaya' pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim; Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda; Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Hatta Ramli dan Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tempat yang akan bertanding dalam PRU15, beliau berkata, perkara tersebut masih belum diputuskan lagi.

“Ia masih belum diputuskan lagi. Tunggu (respon) Setiausaha Agung.

“Memang kita baru boleh berkempen sejak April lalu. Sebelum itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memang kita hadapi masalah (sebab) tidak bertemu.

“PKR baru selesai pemilihan. Tetapi walau bagaimanapun senjata kami PH ‘intact’ (kekal utuh), itu yang paling baik sekarang ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!