Tekong Vietnam didenda RM700,000

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Padah menceroboh perairan negara untuk mencuri ikan, seorang tekong Vietnam dikenakan denda RM700,000 termasuk denda kos menahan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Nguyen Thanh Gian, 49, mengaku salah terhadap pertuduhan pindaan yang ditawarkan di peringkat pembelaan setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sepanjang perbicaraan tersebut.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tiga tahun sekiranya gagal membayar denda mahkamah RM550,000 dan dua tahun penjara sekiranya gagal menjelaskan denda kos menahan RM150,000 yang perlu dibayar kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu.

Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa gagal memberitahu seorang pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia tentang nama, negara bendera, lokasi jalan dan destinasi vesel tersebut, jenis dan amaun ikan.

Tertuduh didakwa gagal berbuat demikian semasa dijumpai pada jarak lebih kurang 37 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, di sini, kira-kira jam 7.41 malam pada 7 Julai 2018.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 25(a), tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta setiap orang yang ada di dalam vesel tersebut dan RM100,000 dalam hal tiap-tiap anggota kru, jika disabitkan kesalahan.

Manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 34, jika dibuktikan dengan memuaskan hati mahkamah bahawa apa- apa barang yang disita di bawah akta ini, mahkamah boleh memerintahkan supaya barang tersebut dilucuthakkan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maritim, Mohamad Afiq Taqiudin Roslan dihadapan Hakim Azman Mustapha manakala tertuduh diwakili peguam bela, Faizal Marzuki dari Tetuan Faizal & Co.

Mahkamah turut mengarahkan vesel, enjin genset, peralatan komunikasi dan navigasi dikembalikan kepada pemiliknya.

Manakala, pukat dan peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan laut ikan baja, ikan campur dan sotong kering lima tan serta minyak diesel 5,000 liter dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia melalui Maritim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!