Polemik istilah 'bubar Parlimen'

Istilah 'pembubaran Dewan Rakyat' lebih sesuai digunakan dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.
Istilah 'pembubaran Dewan Rakyat' lebih sesuai digunakan dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.
A
A
A

PARLIMEN dibubarkan pada 10 Oktober 2022”. Aduh! Lantas terbit pertanyaan dalam minda: Apakah Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah dibubarkan?

Persoalan itu tercetus kerana ‘Parlimen’ dalam konteks Perlembagaan Persekutuan mengandungi Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Siapa yang tersilap dan siapa pula yang terkeliru?

Selama ini konotasi ‘bubar Parlimen’ bermaksud Dewan Rakyat dibubarkan, manakala Yang di-Pertuan Agong atau Dewan Negara tidak terjejas tetapi apakah konotasi itu tepat, salah atau mengelirukan?

Justeru, kita cuba menjelaskan kekeliruan itu, melentinglah mereka dengan mengatakan kerajaan sendiri yang menyebut begitu. “Orang kerajaan buat silap,” ujar kita, lalu dengan tegas mereka membantah: “Mana boleh orang kerajaan buat silap!”

Masyarakat selalu dihidangkan dengan fakta yang keliru. Semua lapisan masyarakat termasuk pemain-pemain politik seharusnya memahami konotasi sebenar.

Pemain-pemain sastera, bahasa malah penguasa pentadbiran sendiri terikut-ikut dengan kesilapan, di samping mengandaikan bahawa konotasi itu telah sebati dalam minda rakyat dan difahami umum.

Hal itu samalah dengan konotasi Wawasan 2020 yang popular sehingga ke hari ini, sedangkan fakta asalnya ialah Malaysia: The Way Forward (Malaysia: Jalan ke Hadapan) iaitu tajuk kertas kerja yang dibentangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat dalam persidangan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991.

Kesannya sehingga ke hari ini masyarakat lebih mengenali Wawasan 2020 atau WW2020 berbanding Malaysia: The Way Forward apabila merujuk cetusan idea Dr Mahathir yang inginkan Malaysia menjadi sebuah negara maju pada 2020.

Artikel Berkaitan:

Kekeliruan WW2020 tidaklah menjejaskan struktur entiti sebagaimana ‘pembubaran Parlimen’ kerana Parlimen Malaysia adalah komponen sistem pentadbiran negara. Malah, tafsirannya dalam Perlembagaan Persekutuan bercanggah dengan kefahaman masyarakat yang begitu yakin bahawa Parlimen adalah Dewan Rakyat dan Dewan Rakyat adalah Parlimen, sebab itu timbul nama khas ‘ahli Parlimen’ sedangkan fakta dalam Perlembagaan Persekutuan ialah ‘ahli Dewan Rakyat’.

Jika menyebut ‘ahli Parlimen’ itu merujuk kepada anggota Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara dapat diterima dan tepat dengan maksudnya kerana komposisi Dewan Rakyat seramai 222 orang, manakala keanggotaan Dewan Negara seramai 70 orang. Anggota Dewan Negara dikenali juga sebagai senator dan mendapat gelaran Yang Berhormat seperti ahli Dewan Rakyat.

Sistem pentadbiran negara Apabila merujuk kepada sistem pentadbiran negara, fakta yang tepat bukan ‘pembubaran Parlimen’, sebetulnya ‘pembubaran Dewan Rakyat’ kerana yang terbubar itu ialah terlucutnya perkhidmatan ahli Dewan Rakyat dan untuk mengisi semula keanggotaannya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya umum (PRU) untuk melantik keanggotaan Dewan Rakyat.

Tiga kuasa

Hayat sebenar Dewan Rakyat bermula pada hari pertama persidangan selepas PRU sehingga tempoh lima tahun, namun begitu Dewan Rakyat boleh dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas tiga tahun berjalan dalam penggal tersebut.

Begitu juga apabila kekosongan berlaku di mana-mana kawasan Parlimen selepas tiga tahun dalam penggal itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak perlu diadakan bagi memilih keanggotaannya. Perlembagaan Persekutuan membenarkannya kosong sehingga PRU diadakan kelak.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, struktur Parlimen mengandungi Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Parlimen ialah badan perundangan Persekutuan yang berfungsi menggubal undang-undang mengikut prosedur yang ditetapkan baik di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Negara sebelum ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong, misalnya Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 atau Bajet 2023.

Secara ringkasnya, sistem pentadbiran kerajaan Malaysia ditunjangi oleh tiga kuasa pemerintahan iaitu kuasa perundangan, pemerintah dan kehakiman. Ketiga-tiga kuasa tersebut terpisah antara satu dengan yang lain, maksudnya tiada campur tangan ke dalam mana-mana kuasa pemerintahan.

Pembubaran Dewan Rakyat tidak bermakna secara automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar. Pembubaran DUN tertakluk kepada kerajaan negeri yang memerintah sama ada perlu mengikut kerajaan Pusat ataupun mengabaikannya.

Bagaimanapun, operasi dan prosedur DUN hampir sama dengan struktur Parlimen tetapi DUN tidak mengandungi Dewan Negara atau keanggotaan senator. Keanggotaan DUN ditentukan oleh PRU atau Pilihan Raya Negeri (PRN), manakala apabila berlaku kekosongan mana-mana kerusi DUN akibat kematian atau muflis, maka PRK boleh diadakan untuk memilih keanggotaannya jika tidak melepasi tiga tahun dalam penggal berkenaan, sama seperti Dewan Rakyat.

Pembubaran Dewan Rakyat bertempoh selama 60 hari. SPR perlu melaksanakan PRU dalam tempoh tersebut bagi memilih ahli Dewan Rakyat baharu untuk mengisi keanggotaan Dewan Rakyat bagi menjalankan fungsinya.

Jelas sekali, pembubaran Dewan Rakyat tidak ada kaitan dengan ‘pembubaran Parlimen’ kerana komponen Parlimen yang lain seperti Yang di-Pertuan Agong dan Dewan Negara masih wujud dan berfungsi seperti biasa.

Oleh itu penggunaan konotasi ‘pembubaran Dewan Rakyat’ adalah tepat dan menepati fakta mengikut struktur Parlimen, kuasa pemerintahan serta fungsi-fungsinya.

*M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!